NASIONAL

Aduan penipuan e-dagang meningkat drastik

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 25 APRIL: Aduan penipuan membabitkan perniagaan e-dagang mencatatkan peningkatan drastik kepada 25 peratus, Setakat Mac lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peratusan itu jauh meninggalkan aduan lain seperti dicatatkan pada 2018.

“Pada 2018, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 26,000 aduan dengan 31 peratus membabitkan aduan harga dan kedua tertinggi adalah penipuan peniaga dalam talian kira-kira 24 peratus.

“Aduan penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan paling cepat berbanding aduan lain dengan kerajaan memandang perkara ini sebagai satu isu penting perlu ditangani segera untuk melindungi kepentingan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan KPDNHEP bagi bulan April lalu di Dewan Serbaguna di ibu pejabat KPNDHEP di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, aduan lain termasuk perkhidmatan mengelirukan, barangan tiruan (2.5 peratus), barangan kawalan (2.4 peratus) dan jualan murah (2 peratus).

Katanya, KPDNHEP berusaha mengatasi isu itu melalui pelbagai pendekatan di bawah inisiatif ‘Quick Win’ di bawah pelan Tindakan Bersepadu e-dagang KPDNHEP.

“Antara pendekatan di bawah inisiatif ini ialah melancarkan Buku Panduan Perniagaan e-dagang kepada peniaga bertujuan memberi panduan untuk menjalankan perniagaan secara beretika.

“Buku ini turut menyediakan panduan undang-undang yang perlu dipatuhi peniaga dalam talian,” katanya.


Pengarang :