SEREMBAN, 5 April — Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberi ucapan pada Majlis Sambutan 20 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dataran Rantau hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Agenda reformasi kejayaan terbesar Pakatan – Anwar

SEREMBAN, 5 APR: Agenda reformasi masih diteruskan kerajaan Pakatan Harapan (Pakatan) dan ia merupakan kejayaan terbesar gabungan parti itu setakat ini, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, agenda reformasi itu meliputi menolak pelaku salahguna kuasa, rasuah dan menipu rakyat serta mengheret mereka yang merompak dana kewangan negara ke mahkamah.

“Jadi keadaan sudah berubah…bezanya kita bukan fitnah, hasut atau dendam tetapi kita siapkan keterangan dan fakta supaya orang yang bertanggungjawab merompak khazanah negara harus dihukum dan ganti balik duit rakyat.

“Ini tak ada tolak ansur. Kalau dulu ramai yang diheret sama ada di mahkamah dipukul atau ditelanjangkan termasuk saya, (Timbalan Presiden KEADILAN Mohamed) Azmin (Ali) dan (Veteran DAP Lim) Kit Siang. Ini harus dihentikan.Walau dia tokoh UMNO, MIC, MCA kita tak ada niat sama sekali nak beri tekanan melainkan mereka yang melakukan jenayah dan rasuah kita hadapkan ke mahkamah,” katanya.

SEREMBAN, 4 April — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memotong kek pada sambutan Ulang Tahun Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Pekan Rantau pada Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau malam ini.
Turut kelihatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua, kanan).
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA.

Beliau berkata demikian dalam Amanat Khas sempena sambutan ulang tahun ke-20 KEADILAN di Dataran Rantau di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan pimpinan KEADILAN.

KEADILAN dilahirkan daripada gelombang reformasi yang melanda negara selepas pemecatan Anwar daripada UMNO pada 2 September 1998.

Ia secara rasmi ditubuhkan pada 4 April 1999 selepas diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan menggunakan nama Parti Keadilan Nasional.

Keadilan menyertai pilihan raya pertamanya pada usia parti itu tujuh bulan pada 1999 dan selepas itu parti berkenaan mula bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia membentuk KEADILAN pada 3 Ogos 2003, dengan Dr Wan Azizah sebagai presiden pertama.

KEADILAN pernah menganggotai beberapa gabungan antaranya Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan.

– BERNAMA


Pengarang :