NASIONAL

Agong tunai solat Jumaat di Masjid Al-Iman

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 12 APRIL: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mencemar duli berangkat ke Masjid Al-Iman, Kemensah Height, di sini, bagi menunaikan solat Jumaat.

Baginda yang lengkap berbaju melayu hijau zaitun tiba di masjid berkenaan kira-kira 1.15 tengah hari disambut Orang Besar Daerah Gombak yang juga Pengasas Masjid Al-Iman, Dato’ Wan Mahmood Pa’wan Teh termasuk ahli kariah masjid.

Keberangkatan tiba Seri Paduka turut diiringi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim; Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dato’ Abd Hamid Hussain.

Seri Paduka kemudian menyertai hampir 1,000 jemaah dari sekitar daerah itu menunaikan solat Jumaat diimamkan Imam 1 masjid berkenaan, Ustaz Mohd Sanusi Idris.

Mohd Sanusi dalam khutbahnya bertajuk ‘Hikmah Di Sebalik Infak’ menarik perhatian sidang jemaah bahawa menginfakkan harta untuk beribadah atau mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan tulus ikhlas, tidak akan merasa satu kerugian, kekurangan mahupun kemiskinan.

“Demikianlah kelebihan mereka yang menginfakkan hartanya, mereka yakin akan dijamin oleh Allah SWT dengan pertambahan rezeki yang datang dari sumber tidak diduga.

“Oleh yang demikian, wakaf menjadi satu medium bagi para sahabat Nabi SAW. Amalan berlumba-lumba berwakaf ini adalah kesan daripada didikan Nabi SAW,” katanya.

Khatib turut berpesan kepada umat Islam supaya yakin dengan janji Allah SWT yang akan memberi pahala amalan berlipat ganda dan berterusan kepada penginfak selagi harta itu dapat dimanfaatkan.

Seusai solat, Sultan Abdullah berkenaan menandatangani plak sempena kali pertama menunaikan solat Jumaat di masjid yang dibina pada 31 Oktober 1999 itu.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka meluangkan masa bersalaman dengan rakyat jelata yang teruja dengan kehadiran baginda.


Pengarang :