SELANGOR

Air Selangor, ADN Sungai Panjang anjur Program Jimat Air

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SABAK BERNAM, 5 APR: Lebih 100 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang menghadiri Program Jimat Air bersama Air Selangor di Balai raya Kampung Hala Cara Baru Parit 16, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang, Dato’ Mohd Imran Tamrin berkata, program itu bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan pentingnya penjimatan air.

Katanya, kadar penggunaan air domestik harian penduduk di Sabak Bernam merupakan antara yang tertinggi di Selangor.

 

“Jadi kita mahu pengguna ubah sikap yang tidak baik, contohnya tabiat membuka air berterusan ketika memberus gigi dan mandi. Ini suatu pembaziran.

“Kita menyokong kempen sebegini dan berharap Air Selangor boleh teruskan pada masa akan datang,” katanya kepada media, selepas Program Jimat Air, di sini.

Sementara itu, Muhammad Yusof Ahmad, 74, penduduk kampung itu berkata, penganjuran program itu sangat memberi manfaat kerana mereka berpeluang berdialog bersama wakil Air Selangor.

Pengisian utama program itu adalah taklimat penerangan daripada Air Selangor dan sesi dialog bersama penduduk.

Air Selangor turut membuka perkhidmatan bagi penduduk menyemak dan mengemaskini alamat akaun bil air mereka.

Pada masa sama, mereka turut mengedarkan lebih 200 kit penjimatan air yang merangkumi 6 biji bidal air kepada penduduk.

Diakhir program, dijalankan sesi cabutan bertuah dan disertai dengan demonstrasi pemasang bidal air di rumah penduduk berdekatan.

Program terbabit merupakan siri jelajah Air Selangor yang ketiga ke daerah seluruh Selangor selepas Petaling dan Banting.


Pengarang :