SELANGOR

Air Selangor sasar penurunan penggunaan air harian

OLEH AFIX REDZUAN

SABAK BERNAM, 5 APR: Syarikat Bekalan Air Selangor (Air Selangor) mensasarkan penurunan satu liter berkapita sehari (LCD) penggunaan air individu bagi penduduk Sungai Panjang berbanding purata 214 LCD sebelum ini.

Penolong Naib Presiden 1, Unit Pemantauan Prestasi dan Konservasi Air, Vasan Ramachandram berkata, pihaknya mensasarkan penggunaan 180 LCD setiap individu menjelang 2048.

“Secara amnya, purata penggunaan air seorang dalam sebuah keluarga di Selangor adalah 234 LCD pada 2016.

“Jumlah itu berjaya dikurangkan pada 2017 pada kadar 222 LCD,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat sempena program ‘Jimat Air Bersama YB dan Air Selangor’ anjuran Unit Penjimatan Air di Kampung Hala Cara Baru, Parit 16, Sungai Panjang.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Dato’ Mohd Imran Tamrin.

Vasan berkata, terdapat 1,799 akaun pengguna di Sungai Panjang dengan jumlah penggunaan air domestik sebanyak 50,673 meter padu setakat Februari 2019.

Daripada jumlah itu, 952 akaun merekodkan penggunaan air di bawah 26 meter padu, 649 pengguna pada kadar 26.1 hingga 50 meter padu manakala selebihnya menggunakan 50.1 meter padu ke atas.

Jelas Vasan, penjimatan air perlu dilakukan walaupun sukar demi kepentingan generasi masa hadapan kerana ia keperluan asas.

Dalam program sama, beliau turut meminta pemilik rumah supaya mengemaskini alamat bagi memudahkan bil air di hantar kepada pengguna.


Pengarang :