SELANGOR

Akademi Headstart sedia pusat pendidikan anak autisme

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 APR: Penubuhan Akademi Headstart diharapkan menjadi tanda aras kepada pihak swasta lain dalam menyediakan pusat pendidikan untuk golongan autisme.

Pemiliknya, Khairul Razman berkata, menerusi akademi itu, pihaknya menyediakan tempat, peralatan dan program intervensi awal untuk membantu anak-anak istimewa itu berjaya dan kembali ke pendidikan arus perdana.

Beliau berkata, pihaknya membawa guru dan terapis berkelayakan, berpengalaman dan berdedikasi untuk membantu anak-anak ini.

“Walaupun kami adalah sebuah syarikat persendirian dan berurusan secara komersial, kami sedar adalah amat penting bagi akademi ini menyumbang secara langsung kepada projek dan program seperti Autisme Cafe Project (ACP) dan program EIP anjuran Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

“Kepada Pengasas ACP, Adli Yahya, saya terharu dan berbangga melihat ACP dijayakan demi anak-anak autisme.

“Saya berharap sumbangan kami ini akan memberi manfaat kepada usaha pihak ACP dan menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk memberi sokongan kepada Komuniti Kantin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Akademi Headstart dan Komuniti Kantin oleh Austism Cafe Project (ACP), di SACC Mall, di sini, hari ini.

Akademi dan Komuniti Kantin itu dirasmikan oleh Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad dan turut dihadiri Ketua Pegawai Kewangan MBI, Zannifa Azura Ahmad.

Pada masa sama, Adli berkata, pihaknya berterima kasih kepada Akademi Headtstart atas sumbangan lokasi itu.

“Kami berharap akan mendapat sokongan dan kerjasama dari organisasi lain supya kami boleh menambah cawangan Komuniti Kantin.

“Anak-anak autisme banyak mendapat peluang dan bantuan untuk belajar berdikari dan seterusnya boleh menyumbang kepada masyarakat,” katanya yang mempunyai seorang anak austime.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :