TOKYO, 7 Nov — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang akhbar kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun hari ini. –fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA TOKYO, Nov 7 — Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamad during a press conference with Malaysian journalists after ending of his three-day working visit to Japan, today. — fotoBERNAMA (2018) COPYRIGHT RESERVED?
BERITA UTAMANASIONAL

Amal tiga teras utama capai kejayaan – Tun M

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 APR: Tun Dr Mahathir Mohamad menekankan soal kerajinan, ilmu dan amanah sebagai teras utama untuk sesebuah bangsa menempa kejayaan.

Perdana Menteri berkata, kombinasi kerajinan dan ilmu penting sebagai pegangan nilai hidup yang akan memberikan lebih semangat untuk berjaya walaupun tidak memiliki kelebihan khusus seperti orang lain.

Berkongsi pengalaman ketika menjadi mahasiswa dalam bidang perubatan pada 1947 di Singapura, beliau melihat faktor kerajinan memberikan makna yang besar sehingga berjaya menduduki tempat pertama dalam mata pelajaran fizik pada penggal pertama pengajian.

“Sebenarnya, nilai hiduplah yang akan menentukan kita berjaya atau tidak. Tidak banyak daripada nilai hidup yang kita pegang memberikan pengaruh kuat.

“Mereka yang berjaya, semuanya kerana mereka yang rajin, sanggup bekerja dan bekerja kuat. Mereka tetap bekerja walaupun tidak mempunyai pelajaran tinggi tetapi rajin berusaha dan bekerja.

“Pegangan kita kepada kerajinan ilmu menjadi satu fakta yang penting untuk menjayakan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, malam tadi.

Katanya, kesungguhan yang dilakukan berulang kali mampu meletakkan diri sebaris dengan orang lain asalkan tidak melihat soal kegagalan sebagai penghalang kepada sebuah kejayaan.

Dr Mahathir berkata, budaya masyarakat Jepun yang malu dan takut dengan kegagalan wajar dijadikan teladan.

“Satu lagi nilai hidup yang menjadi pegangan kita adalah amanah.

“Kita patut berasa malu apabila gagal membuat sesuatu. Untuk elak daripada gagal dan perasaan malu, kita berusaha bersungguh-sungguh dan memikirkan beratnya tugasan yang diberikan kepada kita.

“Kita mesti jayakan apa sahaja yang ditugaskan,” katanya.


Pengarang :