SELANGOR

Ambil serius keselamatan mampu atasi kemalangan di tempat kerja

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 30 APR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor menggesa majikan dan pekerja mengambil serius berkenaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) bagi mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.

Pengarah JKKP Selangor, Ir Ibrahim Md Dol berkata, perkara itu penting bagi mengurangkan kadar kematian dan kemalangan yang sering berlaku hampir setiap hari terutama di kawasan berisiko seperti sektor perladangan serta pengilangan.

Katanya, sehingga kini dilaporkan kira-kira 400 kemalangan berlaku membabitkan kematian, hilang upaya kekal dan tidak hilang upaya kekal di Selangor ekoran kecuaian dan kurangnya pengetahuan berkaitan KKP.

“Majikan dan pekerja perlu mendidik diri bagi mengenal pasti ‘hazard’ di tempat kerja supaya agen kemalangan dapat dikenalpasti sekali gus insiden dapat dielakkan.

“Justeru, semua majikan perlu mengambil tindakan proaktif dalam mencegah kemalangan pekerjaan daripada terus berlaku supaya usaha murni bagi mewujudkan ‘Budaya Pencegahan’ di tempat kerja akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas merasmikan Program “Leading Towards Reducing Fatality Accident Rate In Selangor By 2023” di Hotel Holiday Villa, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, menerusi program itu tiga inisiatif diperkenalkan merangkumi Pelanggaran KKP Sifar, Ketidakpatuhan KKP Sifar dan Kemalangan Pekerjaan Sifar.

“Tiga inisiatif itu diperkenalkan bagi mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja dan majikan untuk lebih berwaspada,” katanya.

Difahamkan, Pelanggaran KKP Sifar bermaksud tiada pelanggaran terhadap undang-undang membabitkan KKP dan tiada kepatuhan kepada standard atau amalan kerja selamat.

Manakala, Ketidakpatuhan KKP Sifar membabitkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang dan standard atau amalan kerja selamat berlaku terutama apabila terjadinya kemalangan atau aduan daripada pekerja dan orang awam.

Selain itu, Kemalangan Pekerjaan Sifar memfokuskan kemalangan sifar dengan kaedah amalan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko.

Terdahulu, kira-kira seramai 120 peserta terlibat menjayakan program taklimat itu yang kebanyakannya dari sektor pembuatan dan pertanian dalam Selangor.


Pengarang :