RENCANA

Anak Selangor jual kimchi 400kg sebulan

OLEH NADIAH ZAMLUS

Gelombang industri hiburan Korea Selatan membuka dimensi baru dalam gaya pemakanan masyarakat tempatan, di negara ini.

Justeru, tidak hairanlah ramai yang ingin mencuba variasi makanan dari negara yang terkenal dengan kumpulan K-Pop itu.

Namun, masyarakat terpaksa menghadapi kesukaran untuk mencari sajian Korea yang benar-benar halal.

Menyedari perkara itu, Nur Faizah Md Salleh, 36 menggunakan pengalamannya yang pernah menetap di Korea Selatan untuk menghasilkan makanan halal, sama seperti negara berkenaan.

Hasil usaha anak kelahiran Kajang, Selangor itu akhirnya terbalas apabila produk keluarannya yang dinamakan Omma Son mendapat permintaan tinggi sehingga menyebabkan dia tidak menang tangan.

Nur Faizah mampu menghasilkan 400 kilogram kimchi dalam tempoh sebulan sahaja, berbanding hanya enam kilogram, pada 2014.

Katanya, idea menjual kimchi bermula ketika dia mengandung anak pertama, pada 2009.

“Pada masa itu, saya mengidam nak makan kimchi, namun saya tidak jumpa rasa kimchi yang sama dengan kimchi yang saya pernah makan di Korea dahulu.

“Memandangkan saya pernah belajar buat kimchi dengan ibu angkat ketika belajar bersama suami di Korea, jadi saya pun cuba buat kimchi sendiri.

“Setiap masakan, saya kongsi di Facebook. Jadi, apabila saya memuat naik gambar kimchi yang saya buat sendiri di dalam laman sosial, ramai yang minta saya jual kepada mereka. Malah ada yang sanggup beli walaupun harganya mahal,” katanya.

Sehingga kini, laman Facebook Omma Son diikuti lebih 50,000 pengguna.

Selepas kimchi, Nur Faizah dan suami kemudian mempelajari cara membuat pes gochujang.

Gochujang adalah salah satu produk Korea yang mendapat sambutan hangat kerana ia antara bahan asas dalam masakan negara itu.

Namun, katanya, agak sukar untuk mencari yang halal di sini, disebabkan kebanyakan pes di pasaran mengandungi alkohol.

“Proses untuk membuat gochujang bukanlah sesuatu yang mudah kerana untuk mendapatkan rasa pes yang asli, kita perlu menggunakan bahan tertentu dan melalui proses penapaian mengandungi alkohol,” katanya.

Atas inisiatif pasangan suami isteri ini, mereka nekad mempelajari sendiri proses pembuatannya dengan menggunakan bahan halal.

Hasil usaha Nur Faizah juga berbaloi apabila ruang pamerannya ketika Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 dikunjungi ratusan pengunjung terutama bagi mereka yang meminati sajian Korea.


Pengarang :