NASIONAL

Anggota SMART ‘unsung heroes’, banyak bantu operasi negara luar

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 10 APR: Anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) disifatkan sebagai ‘unsung heroes’ berikutan peranan besar dimainkan dalam pelbagai operasi menyelamat nyawa di dalam dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, antara misi kemanusiaan membabitkan SMART di luar termasuk di Turki, India, Pakistan, Filipina, Ukraine dan Nepal.

“Anggota SMART adalah “unsung heroes” Malaysia kerana walaupun tidak begitu diketahui awam, peranannya menyelamat nyawa dan statusnya bertaraf dunia.

“Mewakili Malaysia dan menunjukkan keprihatinan negara kita di peringkat antarabangsa adalah sesuatu yang amat membanggakan walaupun pada kebanyakan masa dibuat tanpa publisiti.

“Terbukti, penyertaan berterusan SMART di dalam negara dan antarabangsa merupakan satu manifestasi status elit pasukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Lawatan Timbalan Perdana Menteri Ke Markas SMART di Pulau Meranti di sini, hari ini.

Wan Azizah berkata, selain membantu negara luar, SMART juga terlibat dalam pelbagai operasi di Malaysia seperti pada kejadian Ribut Greg di Sabah (1994), runtuhan Gunung Kinabalu selepas satu gegaran gempa bumi (2015), runtuhan tanah di Pulau Pinang (2017) dan kejadian pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang pada bulan lalu.

Katanya, SMART turut terbabit dalam dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH17 di Ukraine.

 


Pengarang :