NASIONAL

Anwar yakin PAKATAN mampu raih sokongan rakyat

BUTTERWORTH, 29 APR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mampu meraih sokongan rakyat sungguhpun ia berdepan dengan desakan untuk menunaikan janji dalam manifestonya sejak mengambil alih pentadbiran negara selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Katanya, kerajaan dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed memerlukan masa untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu dan ini bukannya dapat diselesaikan dalam masa yang sangat singkat.

“Jika kita dapat menunjukkan pencapaian yang baik maka, sokongan (rakyat) itu akan datang kepada kita dan saya yakin kerajaan PAKATAN mampu menyelesaikan manifesto (pada PRU lalu) dalam masa setahun dua ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sembang Santai Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.

Katanya, perkara yang paling penting untuk diberi penekanan ialah menyelesaikan kemelut ekonomi yang menjadi keluhan rakyat seperti kos hidup yang tinggi.

“Sekarang ini, kita hendak fokus kepada kedudukan ekonomi dan kadar pengeluaran. Ada beberapa kawasan yang kita telah berjaya turunkan harga, tapi saya percaya dengan desakan rakyat.

“Jika ekonomi dapat diberi perhatian, maka rakyat akan mendapat faedahnya. Itu yang utama,” kata Anggota Parlimen Port Dickson itu.

Turut hadir, Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Ditanya mengenai kerjasama UMNO dan PAS, Anwar berkata, gabungan kedua-dua parti itu mampu memberi saingan kepada PAKATAN, namun ini bergantung kepada prestasi dan kapasiti pencapaian wakil rakyat PAKATAN.

“Memang saya akui kerjasama itu mampu membentuk gabungan tapi saya tidak nafikan ia akan memberi saingan kepada PAKATAN bergantung kepada prestasi dan kapasiti mereka sendiri,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :