SELANGOR

ARMADA Selangor bantah tindakan Lokman hina institusi raja

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 APR: ARMADA Selangor membantah tindakan biadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menyebar serta menganjur program palsu yang membabitkan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj.

Ketua ARMADAnya, Adhif Syan Abdullah berkata, tindakan berkenaan memperlihatkan UMNO terdesak dan cuba mempergunakan institusi raja bagi meraih populariti.

Katanya, UMNO mahupun Barisan Nasional perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap Lokman yang turut membabitkan institusi DiRaja Pahang dan juga Johor.

“Tindakan tidak bertanggungjawab dengan menularkan kesemua Putera DiRaja itu adalah tidak bertanggungjawab serta boleh dianggap menghina.

“Justeru, ARMADA Selangor telah mengarahkan seluruh ARMADA Bahagian Selangor untuk membuat laporan polis terhadap Lokman, apa yang dibimbangi adalah sewaktu UMNO atau BN cuba memainkan sentimen perkauman dan agama, tiba-tiba mereka pula menggunakan institusi raja yang turut diheret ke dalam strategi keji sebagai langkah terdesak,” katanya.

Sebelum itu, tular dalam laman sosial poster Program Santai Teh Tarik bersama empat Putera Mahkota yang dijadualkan berlangsung di Mahkota Parade, Bandar Hilir, Melaka.

Menurut kandungan poster tersebut, selain kehadiran Tengku Amir Shah, program itu akan dihadiri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Namun, terdapat seorang lagi Tengku Mahkota yang hadir ke program tersebut tetapi tidak dipaparkan dalam poster tersebut.

Poster yang tular itu menjemput orang ramai hadir memeriahkan sesi minum petang bersama keempat-empat Putra Mahkota terbabit termasuk swafoto.

Kemudiannya pejabat Raja Muda Selangor menafikan penglibatan Tengku Amir Shah dalam program Santai Teh Tarik bersama empat Putera Mahkota.

Menerusi kenyataan akhbar melalui Setiausaha Sulitnya, Saidatul Asyikin Muhammad Johar, penggunaan gambar Tengku Amir Shah tanpa kebenaran rasmi pihak Istana Selangor juga amatlah dikesali.


Pengarang :