NASIONAL

Asap busuk dedah makmal dadah di kondominium

GEORGE TOWN, 15 APR: Bau asap busuk dan mengkhayalkan dari dalam sebuah unit kondominium di Jalan Paya Terubong, Relau dekat sini semalam membawa kepada terbongkarnya aktiviti seorang lelaki menjadikan unit itu sebagai makmal memproses dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, ACP Maidu Abu Bakar hari ini berkata, pada mulanya sepasukan bomba dan penyelamat bergegas ke kondominium itu setelah beberapa orang jiran berhampiran melihat kepulan asap keluar dari unit kediaman itu kira-kira pukul 9.00 malam tadi.

“Anggota bomba yang tiba di rumah itu bertindak memecahkan pintu yang berkunci bagi menjalankan kerja memadam kebakaran, namun mendapati seorang lelaki sedang tidur dalam kediaman tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya lelaki yang terkejut dari tidur berikutan kehadiran petugas bomba dan penyelamat itu sempat melarikan diri dengan membawa sebuah beg dipercayai mengandungi bahan untuk memproses dadah.

“Polis percaya lelaki itu baru saja menjalankan kegiatannya itu di kondominium berkenaan dan kami sedang giat mengesannya untuk siasatan lanjut,” katanya, sambil menambah makmal mini itu dipercayai digunakan untuk memproses dadah jenis syabu.

– BERNAMA


Pengarang :