BERITA UTAMANASIONAL

ASEAN saran Malaysia tingkat komitmen perangi pencemaran plastik

KUALA LUMPUR, 25 APR: Malaysia perlu meningkatkan komitmen memerangi pencemaran plastik dengan menguatkuasakan larangan sepenuhnya terhadap tindakan melupuskan sisa plastik pepejal dan sampah di negara ini.

Dewan Perdagangan ASEAN berkata tindakan melupuskan sisa buangan secara haram kini menjadi masalah utama di Malaysia serta meningkatkan kebimbangan yang ketara mengenai kesihatan dan keselamatan awam, nila hartanah dan kualiti kehidupan.

Katanya, program pencegahan pelupusan haram yang berkesan perlu diadakan dengan berasaskan kepimpinan dan sokongan pegawai tempatan serta kerjasama antara pihak berkuasa, komuniti dan industri.

“Pendekatan bersepadu mesti dikuatkuasakan bagi menangani faktor yang menyumbang kepada masalah ini,” menurut kenyataan dewan itu.

Sebuah agensi berita luar negara melaporkan jumlah besar sisa plastik didakwa masuk ke negara-negara Asia Tenggara selepas China mengharamkan pengimportan sisa plastik yang dikitar semula.

Bagaimanapun Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, dilaporkan sebagai berkata kerajaan bercadang mematahkan cubaan mengimport plastik secara haram di pintu masuk negara.

Dewan itu menyatakan negara-negara ASEAN sebelum ini membenarkan kerajaan wilayah tempatan di zon ekonomi khas untuk menambahkan hasil ekonomi melalui proses kitar semula sisa buangan dari negara luar.

“Bagaimanapun, dengan peningkatan luar kawalan sampah yang tidak dikitar semula, Malaysia terpaksa mengubah haluan dengan menumpukan usaha bagi merapatkan jurang antara sisa domestik dan kapasiti kitar semula,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :