SELANGOR

Asing Jabatan Pendakwaan Syariah elak pertindihan kuasa

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 24 APRIL: Penaiktarafan Bahagian Pendakwaan Syariah kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) adalah tranformasi baik bagi memperkemas dan memperkukuh kedudukan institusi perundangan Syariah, kata Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkata, dahulunya Bahagian Pendakwaan Syariah itu di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kini sudah berdiri sebagai jabatan yang berasingan.

Katanya, pengasingan itu juga bertujuan mempertingkatkan imej, kecekapan, keberkesanan, akauntabiliti dan profesionalisme dalam undang-undang Syariah di Malaysia.

“Ini satu tranformasi untuk kita mengasingkan kuasa antara pendakwa dan perundangan hakim. Dulu bawah JAIS, ramai yang berpersepsi JAIS turut campur tangan dalam pendakwaan.

“Jadi harapanya dengan pengasingan ini, JPSS lebih telus, terbuka dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Penyelarasan Jabatan Pendakwaan Syariah Seluruh Malaysia, di Hotel Grand Bluewave, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha pengasingan itu dibuat seawal tahun 2009 dalam satu resolusi Majlis Munaqashah Pemerkasaan MAIS 2009-2011.

Mohammed Khusrin berkata, cadangan itu kemudian diperkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor pada Jun 2009, seterusnya melalui beberapa prosedur membabitkan pemegang taruh sehingga akhirnya pada 1 April 2018, JPSS berkuat kuasa secara rasmi.

Difahamkan, kini lima negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah menaik taraf kepada Jabatan Pendakwaan Syariah.

Negeri terbabit adalah Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Melaka, manakala negeri lain dalam usaha ke arah penaiktarafan.


Pengarang :