SELANGOR

Asnaf syukur terima bantuan LZS

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 26 APRIL: Hampir lima tahun hidup tanpa sepasang kaki, Zaifulnizam Zainudin bersyukur apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil membantu dirinya yang serba daif.

Katanya, sumbangan itu kali pertama diterima daripada LZS, sejak menderita ketiadaan kaki pada 2014 yang terpaksa dipotong kerana menghidap kencing manis.

“Sejak daripada itu, saya sudah tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan dan hanya mengharapkan bantuan daripada orang ramai.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada LZS kerana sudi membantu saya, sekali gus meringankan beban untuk menanggung lima anak yang masih bersekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Agihan Ramadan dan Hari Raya Asnaf Fakir Miskin di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Sementara itu, salah seorang asnaf, Siti Khatijah Ali sebak menerima bantuan zakat daripada LZS dan berterima kasih atas kesudian institusi itu membantu warga emas sepertinya untuk menjalani kehidupan seharian.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pemberi zakat kerana sudi membantu golongan seperti kami, sekali gus dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung,” katanya yang bercadang mahu menggunakan wang itu bagi membeli barangan keperluan.

Terdahulu, LZS menyantuni asnaf fakir dan miskin bersempena program Ramadan dan Hari Raya 2019 peringkat Kuala Selangor.

Pada masa sama, turut diadakan Program Ziarah Korporat ke Asnaf (Zikra) ke Kuala Selangor mebabitkan 10 syarikat korporat bertujuan menemukan pengeluar dan penerima zakat.


Pengarang :