NASIONALSUKANKINI

Atlet mampu capai prestasi terbaik di Olimpik 2020 – KBS

BUKIT MERTAJAM, 14 APR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) percaya kontinjen negara mampu mencapai prestasi terbaik pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 setelah penstrukturan semula program latihan sukan berprestasi tinggi.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, kementerian melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa memberi sokongan penuh kepada atlet kebangsaan, malah peruntukan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah dipertingkatkan agar kontinjen negara dapat mencapai matlamat tersebut.

“Melalui penstrukturan semula ini, apa kita mahu ialah peningkatan prestasi atlet. Kemudian, kita tidak berhenti memberi fokus pada Sukan Olimpik Tokyo sahaja. Kita mahu menjalankan strategi jangka panjang untuk bersedia menghadapi temasya sukan seterusnya,” katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas merasmikan program Semai Harapan di Taman Eko Rimba di sini hari ini.

Steven berkata, KBS sentiasa menggalakkan dan akan memberi sokonggan kepada persatuan sukan tempatan untuk terus berusaha menganjurkan pelbagai kejohanan sukan peringkat antarabangsa di negara ini.

“Sebagai contoh, Le Tour de Langkawi (LTDL) berjaya membuktikan Malaysia mampu menjadi hab sukan pelancongan antarabangsa. Oleh itu kita menggalakkan agar lebih banyak temasya sukan antarabangsa diadakan di Malaysia,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, program Semai Harapan anjuran Pejabat Parlimen Bukit Mertajam dengan kerjasama Junior Chamber International (JCI) bertujuan untuk menanam 1,000 pokok setahun dalam jangka masa lima tahun.

“Program menanam pokok pada kali ini memfokuskan penglibatan daripada kanak-kanak untuk memupuk semangat cintakan negeri dan negara, mengajar anak-anak mengenai kepentingan pembangunan yang seimbang.

“Selain itu, ia juga untuk mengajar generasi muda melabur pada masa hadapan, tidak hanya boleh fikirkan kepentingan dalam jangka pendek,” katanya.

Program itu disertai kira-kira 100 murid berumur sekitar tujuh hingga 12 tahun daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Juara, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Beng Teik dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Mertajam.

Steven berkata, inisiatif itu turut dibantu Jabatan Perhutanan Pulau Pinang yang bertanggungjawab menyediakan benih serta peralatan penanaman benih serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang bertanggungjawab menempatkan anak-anak pokok daripada penanaman benih hari ini di kawasan-kawasan sekitar Bukit Mertajam.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :