BERITA UTAMASELANGOR

Atlet Para SUKMA cemerlang terima insentif RM71,730

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 APR: Kerajaan Negeri menyampaikan insentif berjumlah RM71,730 kepada atlet yang berjaya meraih pingat dalam Kejohanan Para Sukan Malaysia (SUKMA) XIX Perak 2018.

Insentif ini adalah penghargaan kepada Kontinjen Para SUKMA Negeri Selangor yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) susulan kejayaan memperoleh 61 pingat dan menduduki tempat kelapan keseluruhan dalam kejohanan edisi ke-19 itu.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman dalam ucapannya berkata, kejayaan di Perak diharapkan dapat diteruskan dalam edisi Para SUKMA XX di Johor tahun hadapan.

 

Beliau berkata, sokongan dan kerjasama semua agensi termasuk Majlis Sukan Negeri (MSN) juga penting untuk membantu atlet mencapai kecemerlangan sekali gus mengharumkan nama Selangor.

“Saya mengharapkan tahun hadapan di Negeri Johor, kita duduk di tangga teratas,” katanya pada Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Negeri Selangor Para Sukan Malaysia (SUKMA) XIX, Perak 2018 berlangsung di Hotel De Palma, Seksyen 19, Shah Alam, petang tadi.

“Kita tidak mahu ada unsur politik dalam sukan. Siapa membawa bendera dan mampu mengharumkan nama Selangor, kita akan sokong.”

Daripada insentif berjumlah RM71,730, untuk sembilan jenis sukan, kontinjen tenpin boling menerima imbuhan paling tinggi RM20,790 diikuti Boccia (RM11,660) manakala renang serta olahraga masing-masing menerima RM9,350.

Setiap pemenang pingat emas mendapat RM1,500, perak RM1,000 dan RM700 untuk pingat gangsa.

Dalam majlis sama, anugerah Atlet Terbaik diberikan kepada atlet olahraga, Muhammad Amirul Alif Abdul Raof manakala Shaikh Hashim Shaikh Mahmud dari sukan tenpin boling pula dipilih sebagai Pengurus Terbaik.

Muhammad Amirul Alif dan Shaikh Hashim masing-masing menerima insentif RM500 setiap seorang.

 


Pengarang :