NASIONAL

Azmin: Jaminan Kerajaan untuk FELDA struktur semula pinjaman

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kerajaan bersetuju memberikan Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk membolehkan entiti terbabit menstrukturkan semula pinjamannya dengan institusi kewangan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jaminan itu sebahagian daripada usaha kerajaan membentuk sistem kewangan baharu dan lestari bagi FELDA, selari pelan transformasi serta hala tujunya, selain mengelak daripada menanggung beban hutang yang tinggi.

“Kegagalan menstruktur semula pinjaman FELDA akan mendedahkan entiti itu kepada pembayaran pinjaman dan kadar faedah RM2.5 bilion untuk 2019,” katanya ketika membentangkan Kertas Putih Felda, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, bagi tahun lalu sahaja, FELDA terpaksa melunaskan bayaran pinjaman dan kadar faedah RM1.4 bilion kepada institusi kewangan.

Beliau berkata, FELDA juga akan melaksanakan rasionalisasi aset bagi menambah baik kedudukan kewangan semasanya.

“FELDA kini dalam proses mengenal pasti aset tidak strategik yang berpotensi untuk dicairkan bagi menjana aliran tunai pada nilai terbaik,” katanya.

Katanya, antara punca masalah kewangan FELDA ialah kekangan aliran tunai ekoran pendapatan lebih rendah berbanding kos operasi selepas menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan Felda Global Ventures Bhd (FGV) bagi menyenaraikan FGV di Papan Utama Bursa Malaysia.

Beliau berkata, sebelum penyenaraian FGV, Felda menjana keuntungan bersih antara RM200 juta hingga RM1.1 bilion setahun dalam tempoh 2007 hingga 2011 melalui pengurusan ladang komersial miliknya yang berkeluasan lebih kurang 400,000 hektar.

“Selepas penyenaraian FGV, khususnya pada 2013, prestasi kewangan FELDA mulai merosot. FELDA melaporkan kerugian secara berterusan sehingga mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM4.9 bilion pada 2017,” katanya.

Secara purata, FELDA hanya menerima RM400 juta setahun daripada FGV berbanding keperluan sekurang-kurangnya RM800 juta setahun untuk mengurus ladang serta menjamin kebajikan peneroka.

Mohamed Azmin berkata, selain penstrukturan dan pengukuhan kewangan, pelan transformasi dan hala tuju, FELDA turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan tadbir urus serta operasi berasaskan ketelusan dan akauntabiliti bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan peneroka serta mengukuhkan kedudukannya.

Antara langkah yang sudah dan sedang diambil adalah melantik kepimpinan baharu FELDA terdiri daripada golongan profesional, berwibawa dan berintegriti serta menyusun semula struktur korporat juga pengurusan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan.

Katanya, FELDA juga akan memperkenalkan sistem semak dan imbang bagi mencegah dan menghalang penyalahgunaan kuasa dan salah laku rasuah.

Selain itu, katanya, FELDA akan memperkenalkan model baharu pengurusan tanah peneroka melalui sewaan tanah untuk satu tempoh jangka panjang yang munasabah bagi menyelesaikan isu demografi peneroka dan ketiadaan ekonomi bidangan.

“Pengenalan model baharu ini akan membolehkan tanah peneroka digabungkan dan diusahakan secara cekap, berskala besar dengan ekonomi bidangan yang boleh mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :