NASIONAL

Azmin terima kunjungan MB Johor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 APRIL: Menteri Hal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menerima kunjungan hormat Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal di pejabatnya, hari ini.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan berkata, pertemuan empat mata itu bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama konstruktif antara Kerajaan Persekutuan dan Johor.

Katanya, usaha itu bagi menjamin pertumbuhan ekonomi mampan dan mempergiat usaha pembangunan prasarana serta infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.

“Sumbangan Johor yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara juga menuntut supaya Kerajaan Persekutuan menyuntik semula sumber sebagai pemangkin kepada dinamisme ekonomi negeri itu,” kata kenyataan itu.

Pada 14 April lalu, Sahruddin yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Kepong mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17, di Istana Bukit Serene.

Sahruddin yang sebelum ini EXCO Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri dilantik menggalas tanggungjawab itu selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

 


Pengarang :