SELANGOR

Baju Raya Project 2019 bakal kembali 20 April depan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 11 APR: Menjelang Ramadan tahun ini, sekali lagi Pertubuhan Projek Kasih menganjurkan kembali program amal ‘Baju Raya Project’ siri pertama bagi 2019.

Program yang sudah berjalan selama enam tahun itu bertujuan mengumpul dan mengasingkan sumbangan orang ramai sebelum mengedarkannya kepada rumah kebajikan, ibu tunggal dan golongan yang memerlukan.

Menurut penganjur, terdapat tiga jenis sumbangan yang diterima, iaitu sumbangan baju raya, barangan dapur dan kuih raya.

“Bagi kategori baju raya, perkara diperlukan adalah seperti baju kurung, jubah, kebaya, tudung, baju melayu dan apa jua jenis baju raya bagi lelaki serta perempuan daripada kanak-kanak hingga dewasa yang baru atau masih elok dipakai.

“Manakala, kategori kedua dan ketiga, penyumbang digalakkan memberi 5 kilogram(kg) beras, 2 kg tepung, 2 kg gula, 1 tin susu serta kuih raya termasuk biskut, kerepek atau jenis kuih kering,” katanya.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh hadir ke Anjung A Masjid Wilayah Persekutan Kuala Lumpur pada 20 April 2019 ini, bermula jam 9 pagi sehingga 1 petang.

Pada masa sama, badan bukan kerajaan(NGO) itu turut memerlukan 200 sukarelawan bagi menjayakan projek siri pertama nanti.

Sebarang pertanyaan, boleh hubungi di talian 0127624974 (Adib) atau lawati media sosial BajuRayaProject.

Selain Kuala Lumpur, program terbabit akan diadakan di Kuala Terengganu dan Johor Bahru pada 11 Mei 2019 serta Universiti Putra Malaysia pada 18 Mei 2019.

 


Pengarang :