PBTSELANGOR

Baju-T RGG laku bagai pisang goreng panas

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 14 APR: Jualan baju-T rasmi Retromania Grand Gathering 2019 dengan slogan Gila-Gila Zaman Remaja mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.

Urusetia Jualan, Sahiful Salem, 39, berkata, hampir 4,000 helai baju-T yang turut tertera slogan ‘Azura Mengamuk Semalaya’ berjaya dijual sepanjang tempoh dua hari acara himpunan motosikal itu berlangsung.

Katanya, baju-T berwarna kuning itu dijual pada harga RM50 (lengan pendek) dan RM60 (lengan panjang).

“Kita mula jual baju ini kepada pengunjung sejak semalam sehingga 5 petang ini, malah hari ini juga masih mendapat permintaan ramai, namun kita kehabisan stok.

“Ada 30 helai baju rosak dan kita tidak jual kepada pengunjung tetapi masih ada pengunjung yang mahu membelinya pada harga sama.

“Kita juga menjual sebanyak 15,000 helai baju secara dalam talian sejak Oktober tahun lalu sehingga acara berlangsung,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Selain baju-T, antara barangan lain dijual adalah pelekat kenderaan (RM5) dan sampul raya (RM10).

Sahiful yang turut dibantu lima pekerjanya berkata, permintaan tinggi terhadap barangan itu memandangkan konsep dan rekaan dihasilkan sangat unik selain memiliki ciri ‘vintage’ dan retro.

“Tahun ini memang menggalakkan kerana penganjur menampilkan kelainan daripada segi tema iaitu Gila-Gila Remaja selain kehadiran pelakon terkenal, Faizal Hussein.

“Majlis Daerah Kuala Langat juga sudah menjalankan promosi dengan menjelajah Semenanjung Malaysia bagi menarik penyertaan ramai dalam kalangan penggemar motosikal,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :