SELANGOR

Banci Perdagangan Borong & Runcit terbit statistik terperinci

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 APRIL: Banci Perdagangan Borong dan Runcit dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun ini akan menerbitkan statistik lebih terperinci di peringkat ‘small area’, khususnya Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelaksanaan itu bertujuan mengenal pasti taburan, struktur dan prestasi pemilik perdagangan borong serta runcit di peringkat mikro.

Katanya, inisiatif berkenaan bakal memberi gambaran secara holistik prestasi sesuatu lokaliti mengikut pelbagai dimensi dengan panduan statistik sedia ada diterbitkan Jabatan Perangkaan termasuk kependudukan, guna tenaga, pengangguran, pendidikan dan kesihatan.

“Ini adalah teras utama bagi perancangan pembangunan dan penilaian keberkesanan segala hasrat serta aspirasi Kerajaan umumnya dan Selangor khasnya bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

“Saya yakin usaha membangunkan potensi ekonomi mengikut lokaliti diperkenalkan melalui agenda Klusterisasi atau Gugusan Ekonomi Selangor dalam belanjawan dapat direalisasikan berpaksikan statistik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Seminar Ekonomi Negeri Selangor Dan Majlis ‘Kick Off’ Banci Perdagangan Borong & Runcit 2019, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron dan Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Pada masa sama, Amirudin berkata, penghasilan statistik lebih terperinci hasil garapan banci berkenaan akan mencetuskan kerjasama lebih erat dalam kalangan pelbagai agensi kerajaan, swasta termasuk badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat negeri dan daerah.

Katanya, banci berskala besar yang dijalankan setiap lima tahun itu meliputi hampir 500,000 entiti perniagaan terbabit dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit dengan 22 peratus daripadanya berada, di Selangor.

“Saya menyeru kepada semua agensi di bawah Kerajaan Negeri di semua peringkat akar umbi supaya sama-sama menggembleng tenaga dalam memastikan penyusunan statistik lebih sistematik.

“Penemuan banci ini juga akan mencetuskan minat pengguna statistik rasmi yang sentiasa dahagakan data di peringkat lokaliti bagi menambahbaik keperluan perancangan dan pembuatan dasar di peringkat ‘small area’,” katanya.


Pengarang :