NASIONALSUKANKINI

Bangun infrastruktur, aktiviti sukan PPR kos rendah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 20 APRIL: Kerajaan komited memastikan lebih banyak aktiviti dan infrastruktur sukan dibangunkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara demi manfaat belia, di kawasan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, PPR adalah kawasan diwakili golongan berpendapatan rendah (B40) yang lazimnya dilupakan memandangkan pembangunan sering dikhususkan di kawasan bandar atau luar bandar.

“Dalam perkara ini, KBS dan Kerajaan Negeri akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan lebih banyak aktiviti sukan serta infrastruktur sukan khususnya yang berdekatan boleh diguna pakai belia serta anak muda yang menetap di PPR.

“Kita akan cuba pergi ke sebanyak negeri yang mempunyai PPR kos rendah kerana fokus utama adalah untuk meningkatkan lagi infrastruktur sukan dan ini mustahak untuk jangka masa panjang.

“Kita mahu memastikan landskap sukan negara dapat ditambah baik, oleh sebab itu kita tidak boleh hanya memfokuskan di kawasan luar bandar atau bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sukan Belia PPR Peringkat Selangor, di PPR Lembah Subang 2, di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Terdahulu, lebih 1,000 belia dan penduduk di kawasan PPR Lembah Subang 1 dan 2 turut serta menjayakan program yang kali kedua digerakkan melalui KBS.

Syed Saddiq berkata, Sukan Belia PPR diwujudkan bagi memperkasa budaya bersukan dalam kalangan masyarakat ke arah mewujudkna negara bersukan menjelang 2020.

“Ia juga memberi galakan secara berterusan kepada belia dan orang ramai berhubung kepentingan gaya hidup aktif serta sihat melalui aktiviti kecergasan.

“Sukan ini dapat mengurangkan aktiviti vandalisme dalam kalangan remaja dan belia, bahkan mewujudkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti di PPR,” katanya.

Antara pengisian program adalah pertandingan ‘Street Soccer’, 3 on 3 Bola Jaring, Sukaneka Keluarga, ‘Family FunRobik’, ‘Dart Challenge’, Sepak Raga Ratus, pertandingan Caroom, ‘Fit & Fun Aerobikthon’, ‘Chair Fitness’ dan ‘Busker Show’.

Turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak, perkhidmatan gunting rambut, perkhidmatan ‘Sport Massage’, perkhidmatan tukar minyak hitam selain Pameran dan pemeriksaan kesihatan, pendaftaran skuad antidadah serta pemeriksaan mata percuma.


Pengarang :