Selangorkini
SUKANKINI

Bangun pusat sukan di setiap PBT melalui ‘Sport Smart Partnership’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 APR: Kerajaan Negeri bercadang membangunkan sebuah pusat sukan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui ‘Sport Smart Partnership’ demi manfaat penggiat sukan di Selangor.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan Dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, inisiatif itu bagi memastikan setiap atlet dan pemain mendapat peluang yang baik untuk menjalani aktiviti sukan masing-masing.

“Sebagai contoh, sukan badminton di Klang, PBT berkenaan akan mencari satu pusat badminton dan mereka akan menjalankan ‘private partnership’.

“Kalau premis yang melabur adalah entiti swasta, maka sebahagian daripada keuntungan program dilaksanakan akan diberi bersama dengan PBT.

“Sekiranya kita tidak berbuat begitu, banyak sukan di Selangor tidak ada tempat dan ‘Homegrown’ untuk mereka jalani latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Selangor di Carlton Holiday Hotel & Suites, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Sabran Abu Bakar dan Presiden Majlis Belia Selangor, Hafez Shuriddin.

Sebelum itu, beliau turut menyampaikan Watikah Pelantikan Ahli MPBN Sidang 1 Penggal Ke-32 sesi 2019-2020 kepada ahli majlis yang baharu dilantik bagi penggal berkenaan.

Mohd Khairuddin merangkap Pengerusi MPBN Selangor berkata, persidangan itu menjadi medan terbaik kepada belia untuk menyuarakan pandangan mereka secara berhemah selain mengikut tatacara dan peraturan ditetapkan.

Katanya, ia harus dimanfaatkan sepenuhnya supaya segala permasalahan belia terutama di akar umbi dapat diatasi dan menunjukkan betapa penting fungsi pendekatan seumpama itu.

“Kita mempunyai bilangan belia ramai iaitu 50 peratus daripada penduduk. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri sentiasa memberi peluang kepada belia untuk maju daripada segi pendidikan, ekonomi dan sukan,” katanya.

 


Pengarang :