SELANGOR

Bantuan baik pulih rumah mangsa ribut diputus esok

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 3 APR: Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) akan memutuskan jumlah bantuan baik pulih membabitkan 142 rumah mangsa ribut di sini, esok.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, kos yang akan ditanggung Kerajaan Negeri itu bergantung kategori jenis kerosakan.

“Dalam mesyuarat MTES esok, kita akan putuskan berapa jumlah yang akan disalurkan mengikut kategori kritikal, sederhana dan kecil.

“Jumlah itu membabitkan RM50,000 bagi kritikal, RM20,000 sederhana dan RM5,000 bagi kerosakan kecil,” katanya kepada SelangorKini selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara, Dewan Serbaguna JAKOA Batu 12, di sini.

Loy Sian berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti sebanyak 22 rumah di Batu 11 dan 12 kritikal untuk dibaik pulih segera.

“Saya berharap penduduk dapat bersabar dengan musibah ini dan Kerajaan Negeri akan membantu menyalurkan bantuan awal serta baik pulih rumah,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, dalam mesyuarat MTES itu juga akan diputuskan sama ada mangsa akan ditempatkan di pusat pemindahan itu atau cadangan lain.

Setakat hari ini, sejumlah 23 keluarga dan 101 mangsa termasuk 45 kanak-kanak ditempatkan ke pusat pemindahan sementara itu.

“Sebagai EXCO Alam Sekitar, saya simpati dengan kejadian yang berlaku. Cuaca yang tidak menentu ini menyebabkan berlakunya ribut di tiga kawasan antaranya Tanjung Karang, Petaling dan Gombak.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana semua agensi yang terbabit dapat mengambil tindakan segera dan terbaik untuk membantu mangsa,” katanya.

Dalam kejadian 28 Mac lalu, seorang lelaki berusia 30an turut tercedera terkena renjatan elektrik ketika cuba membantu mangsa lain.

Kejadian itu turut membabitkan lima rumah di Pondok Penyayang Raudah musnah dan penghuninya cedera kini dan dirawat di Hospital Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, lima mangsa yang cedera ditempatkan di Hospital Selayang, dua di Hospital Kuala Lumpur dan seorang lagi di Hospital Orang Asli Gombak.


Pengarang :