NASIONAL

Bantuan kewangan RM500 buat mangsa flat retak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU KELANG, 29 APR: Kerajaan akan memberi bantuan kewangan sebanyak RM500 untuk setiap keluarga terbabit dalam kejadian pangsapuri retak di Blok F Taman Keramat Permai, di sini, Jumaat lalu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sumbangan itu akan dihulurkan secepat mungkin bagi membantu mengurangkan beban dihadapi mangsa berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga bersedia mempertimbangkan sedikit bantuan kewangan memandangkan sebahagian besar penduduk di blok terbabit hanya bekerja sendiri dan terpaksa bercuti untuk menguruskan kedudukan rumah masing-masing.

“Sementara ini, saya sudah bertemu dengan keluarga meminta supaya mereka bersabar kerana kita mahu pastikan jabatan dan agensi teknikal benar-benar memberi pengakuan tentang keselamatan bangunan sebelum keputusan diambil.

“Kita akan siapkan kesemua kemudahan yang terbaik di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya AU2 termasuk memberi kemudahan penghawa dingin dalam dewan berkenaan mulai malam ini sehingga mereka berpindah.

“Makanan juga akan disediakan, manakala Jabatan Kesihatan akan berada di lokasi untuk memberi khidmat kesihatan kepada warga emas dan mereka yang memerlukan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas turun padang bagi meninjau situasi di blok bangunan berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha serta Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin untuk memastikan struktur bangunan lama itu terus dipantau sepanjang masa.

“Bangunan dibina dan diduduki selama 28 tahun dan daripada maklumat awal kita dapati sudah tentu bangunan lama ini berada di atas tapak yang mungkin berlaku mendapan dalam tempoh begitu panjang.

“Hal ini juga sedang diteliti oleh jabatan teknikal khususnya Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM),” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari Jumaat lalu, penghuni Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai digemparkan dengan penemuan beberapa keretakan di struktur bangunan terbabit sehingga memaksa seramai 222 penghuni daripada 37 keluarga diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat Permai.

Semalam, mangsa yang berada di pusat pemindahan itu dipindahkan ke lokasi kedua di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2 terdiri daripada 24 keluarga membabitkan 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU).

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :