Selangorkini
SELANGOR

Bantuan ribut: RM300,000 diserahkan dalam masa terdekat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 APR: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM300,000 bagi membantu mangsa ribut yang melanda Paya Jaras beberapa minggu lalu.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, bantuan itu akan diserahkan kepada mangsa dalam masa terdekat ini.

“Kerajaan telah luluskan bantuan khas dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) beberapa minggu lalu dan sekarang Pejabat Daerah dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sedang saring nama-nama yang ada.

“Dalam masa terdekat kita akan serahkan bantuan ini yang membabitkan peruntukan lebih RM300,000 khasnya kepada penduduk Paya Jaras,” katanya.

Beliau yang juga EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan berkata, jumlah bantuan akan diberikan berdasarkan penilaian kerosakan dan kerugian yang ditanggung.

Mohd Khairuddin bantuan ini diberikan berikutan rasa prihatin Kerajaan Negeri terhadap rakyat yang ditimpa bencana.

“Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan mangsa ribut ini. Justeru kita minta mangsa-mangsa ini sabar, Kerajaan tahu keadaan mereka tetapi kerajaan juga ada prosedur untuk memastikan duit sampai ke tangan mereka,” katanya.

Ribut yang melanda di beberapa kawasan di Paya Jaras pada petang 8 Mac lalu disifatkan sebagai antara terburuk dalam sejarah dengan mengakibatkan kerosakan 300 buah rumah dan 35 pokok tumbang.


Pengarang :