SELANGOR

Bekas asnaf tunai Rukun Islam keempat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 26 APRIL: Tekad mahu mengubah kehidupannya, bekas penerima zakat, Suliza Sulaiman berasa tenang apabila menunaikan kewajipan membayar zakat.

Beliau yang pernah menerima zakat sebelum ini berjaya mengubah kehidupannya selepas menjalankan perniagaan MyBidan House hasil bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Saya memang tekad mahu mengubah kehidupan menjadi lebih senang kerana pernah merasai peritnya apabila tiada duit dengan tugas mahu membesarkan anak-anak.

“Oleh itu, saya mula mengikuti kursus MyBidan House sejak 2017 memandangkan memang mempunyai sedikit kebolehan berurut, namun menerusi kursus itu saya rasa ia sedikit sebanyak dapat menambahkan lagi ilmu urutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Agihan Ramadhan dan Hari Raya Asnaf Fakir Miskin di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Suliza, 44, berkata selepas mengikuti kursus itum beliau tekad mahu mengubah kehidupan dan bekerja keras mencari pelanggan yang mahukan servis urutannya dengan kebanyakan dalam kalangan ibu berpantang.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada LZS kerana banyak membantu golongan asnaf mengubah nasib mereka.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada asnaf fakir dan miskin di luar sana yang turut mendapat bantuan LZS untuk bersama berusaha mengubah kehidupan serta tidak berterusan hidup dalam kepompong kemiskinan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan golongan asnaf supaya mempunyai matlamat dan segera menunaikan zakat apabila sudah berkemampuan.

“Perasaan selepas kita membayar zakat tidak boleh diungkapkan, memang betul pepatah ada menyebut tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima dan saya akui hal itu,” katanya.

MyBidan House, menawarkan urutan secara mobil dengan pelbagai pakej khusus untuk wanita dan kanak-kanak antaranya bekam, urutan berpantang, saraf, urutan bayi dan terapi penjagaan wanita.

Pakej berpantang disediakan serendah RM120 sehingga RM1,950 untuk tempoh seminggu penjagaan dengan seorang pembantu.


Pengarang :