PENDIDIKANSELANGOR

Bekas guru Saiful Apek dinobat tokoh guru Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 27 APR : Bekas guru pelawak tanah air negara, Saiful Apek dinobat sebagai Tokoh Guru Kepimpinan Pendidikan Peringkat Negeri Selangor 2019, hari ini.

Beliau, Dato’ Mahmud Karim menjadi guru selebriti terkenal itu ketika memegang jawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah Klang bermula 1982 hingga 1998.

Anak jati Kampung Batu Laut Kuala Langat itu berkata, menjadi guru bukan sekadar memfokuskan pelajar cemerlang dalam pendidikan semata-mata, sebaliknya bakat terpendam lain perlu turut digilap.

“Disebabkan itulah saya nampak bakat pada Saiful Apek ini ketika menjadi warden asrama di sekolah berkenaan, pada waktu itu saya berjaya ‘menangkap’ sekumpulan pelajar yang bermain mercun dan dia adalah salah seorang daripadanya.

“Pada waktu itu, dia berkata kepada saya, ‘saya tidak main mercun cikgu, saya tolong nyalakan api sahaja’, sebagai guru sudah tentu ia mencuit hati saya, dan dari situ saya sudah tahu dia ada bakat terpendam.

“Kemudiannya saya menganjurkan acara ‘talentime’ di asrama, tetapi tidak sangka yang menang adalah Saiful Apek, itulah yang saya katakan, guru-guru pada hari ini perlu memandang seseorang murid itu dari pelbagai sudut, ada yang pandai belajar, bersukan dan sebagainya, yang penting kita sebagai pendidik perlu bersabar dan peka,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor bertempat di Hotel Sama-Sama KLIA, hari ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Mohd Salleh Mohd Kassim dan Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah.

Mahmud, 61 juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Pendidikan Selangor, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga Ketua Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan.

Katanya, beliau tidak pernah menjangka akan menerima anugerah berkenaan yang dianggap diantara pencapaian manis buat dirinya.

“Kepada warga pendidik yang masih berkhidmat dalam kerjaya ini, percayalah pada rezeki masing-masing dan bekerjalah dengan seikhlasnya.

“Buatlah kerja ini dengan baik kerana gelaran sebagai guru ini amat mulia kerana kita mendidik generasi akan datang, curahkan tenaga sebaiknya kepada amanah diberikan ini,” katanya.

Mahmud turut menerima wang tunai RM2,000 daripada JPS, RM2,000 daripada Bank Simpanan Nasional serta kepingan siling emas.

Selain beliau, tiga tokoh guru turut diiktiraf ialah Bahari Bustamam, Nur Hainei Abu Bakar dan Mohamad Alwan Ginen.


Pengarang :