Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
NASIONAL

Bekas pegawai kanan KBS gagal ketepi hakim dari dengar kesnya

KUALA LUMPUR, 5 APR: Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd gagal dalam permohonannya untuk mengetepikan hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi daripada mendengar perbicaraan kesnya, dan memindahkan kes itu untuk didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang baharu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusof juga memerintahkan perbicaraan kes itu didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang sama sehingga kes selesai.

Dalam penghakimannya, Rozana berkata, keputusan isu penarikan seseorang hakim bicara hanya boleh dicabar atas alasan berat sebelah sebenar atau bahaya berat sebelah sebenar dan bukan atas alasan berat sebelah yang jelas.

“Alasan kemungkinan wujud ‘real danger of bias’ di hadapan hakim bicara yang sama tidak mempunyai merit, oleh itu permohonan ini ditolak dan saya arahkan perbicaraan dijalankan di hadapan hakim yang sama sehingga selesai,” katanya.

Katanya, berdasarkan rekod, 63 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan, dan sekiranya permohonan itu dibenarkan ia akan menyebabkan pihak-pihak terlibat mengalami lebih banyak pembaziran kos dan masa.

“Berlaku pembaziran untuk mendengar kes pemohon (Otman) sekiranya hakim baru yang ditugaskan unuk mendengar kes ini memutuskan untuk buat perbicaraan ‘de novo’ dalam kes ini,” katanya.

Otman, 60, memfailkan permohonan untuk mengetepikan hakim Azura Alwi daripada mendengar perbicaraan kesnya dan memindahkan kes itu untuk didengar oleh hakim Mahkamah Sesyen yang lain pada 25 Jan 2019 menerusi penguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Permohonan itu dibuat dengan alasan wujudnya kemungkinan keadaan bias yang benar daripada hakim Azura memandangkan semasa prosiding pengakuan salah tertuduh kedua iaitu Abdul Gafar Abdul Rahman pada 23 Nov 2018, fakta kes telah dibacakan dan dikemukakan di hadapannya.

Otman juga berkata, haknya akan diprejudiskan dengan teruk dan dinafikan satu perbicaraan yang adil sekiranya perbicaraan didengar di hadapan hakim bicara sama.

Semasa prosiding di hadapan hakim Azura, Abdul Gafar, 45, dihukum penjara setahun dari tarikh jatuh hukum pada 23 Nov 2018, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan memindahkan wang ke akaun milik Otman, manakala isterinya Siti Rohanah Hussien, 45, seorang suri rumah dilepas tanpa dibebaskan dari tuduhan sama.

Pasangan suami isteri itu dituduh atas 63 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank tiga syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa yang sama.

Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 sehingga 11 Dis 2015.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.

Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya AMLA Lee Keng Fatt dan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Abdul Rashid Sulaiman.

Kes itu masih di peringkat perbicaraan saksi pendakwaan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :