SELANGOR

Benih padi tidak sah punca penyakit BPB, pesawah berisiko hilang 70% hasil

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 3 APR: Penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB) yang dihebahkan menjadi ancaman kepada industri padi negara berisiko menyebabkan hasil pesawah menurun sehingga 70 peratus.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, penyakit yang berasal negara luar ini dipercayai dibawa benih padi tidak sah.

“Jika kita lihat kepada sejarah kewujudan penyakit BPB ini, ia hanya ada di negara lain di Utara, Selatan dan Amerika Tengah (Gulf of Mexico, Dominican Republic, Venezuela, Ecuador, Brazil, Panama, Colombia, Nicaragua dan Costa Rica), Afrika (negeri Selatan Afrika dan Tanzania) dan Asia (Jepun, Korea, Vietnam, Filipina, India, Sri Lanka dan China) dan baru-baru ini sahaja ia wujud di negara kita.

“Jadi, kita perlu kenal pasti apakah punca penyakit ini boleh ada di negara kita khususnya di Selangor dan saya difahamkan punca utamanya adalah daripada benih padi yang tidah sah di mana telah dibawa masuk ke negara ini tanpa melalui prosedur standard yang telah ditetapkan.

“Oleh itu, di sini saya ingin menekankan bahawa penggunaan benih padi sah amat penting kerana ketulenan varieti terjamin, diperakui oleh Jabatan Pertanian, menjamin hasil yang berkualiti serta mempunyai daya ketahanan terhadap serangan penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya di Majlis Pelancaran Kempen Penggunaan Benih Padi Sah Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di Pusat Pertanian Sungai Burong di sini, hari ini.

Izham berkata, laporan Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian sebelum ini mengesahkan bahawa kawasan tanaman padi di Negeri Selangor membabitkan Kuala Selangor dan Sabak Bernam telah dijangkiti penyakit ini.

Katanya, selain penurunan hasil, ianya juga menyebabkan lot padi di sawah terbabit tidak boleh dijadikan benih padi.

“Saya menyeru kepada warga tani terutamanya pesawah di Selangor agar saling bersama-sama berusaha dan bekerjasama dalam membanteras isu penggunaan benih padi yang tidak sah dengan tidak menyokong dalam membeli dan menggunakan benih padi selain daripada yang diakui oleh Jabatan Pertanian kerana dengan tindakan tuan yang kurang bertanggungjawab inilah yang memberi kesan negatif terhadap industri padi negara,” katanya.

Terdahulu, Izham turut mengiringi Salahuddin ke Program Sembang Santai Bersama Pesawah Kampung Sawah Sempadan.

Dalam program itu, Salahuddin dan Izham sempat mendengar sendiri keluhan dan pendapat golongan pesawah di kampung terbabit.


Pengarang :