Selangorkini
SASTERA

Bergayutan Keresahan di Kelopak Mata

Oleh Nik Aidil Mehamad

Tengah malam kelmarin,Pak Rumi yang dingin, ekonomis tutur bicaranya, mengoyak bungkusan mee segera, campak mee ke dalam periuk kecil yang menguap wap. Dapur gas menyala, bayang tubuh kurusnya makin jelas terbekas di langsir jendela dapur apabila api dapur gas melayang-layang ditiup angin dari luar rumah. Bayangnya turut menari-nari. Dia duduk di meja makan dalam tempoh masa yang agak lama hanya untuk sepinggan mi segera.

Langsir dapurnya seolah-olah kelir wayang kulit. Betapa bosan pun wayang gambar malam itu, Elena akan duduk menonton Pak Rumi. Lelaki itu selalunya akan mundar-mandir di dapurnya. Lampu dapur dipadam barulah Elena turun dari loteng rumah Ibu Yu. Dalam rumah yang tidak punya cahaya elektrik yang cukup – hanya ruang dapurnya bercahaya pada waktu malam, Pak Rumi tinggal.

Sepasang merpati bertengkar di atap rumah. Rumah dicat dengan warna senja. Polesan cat tidak rata, dinding rumah masih terlihat permukaan papan kayu. Ada tingkap yang tercabut dari tubuh rumah. Sebahagian tubuh rumah Pak Rumi disembur grafiti, barangkali luahan remaja-remaja di kampung Elena. Grafiti lirikal dari kumpulan musik dari UK. Potongan lirik itu melekat dalam kepala Elena, “ I don’t care if it hurts, I want to have control, I want a perfect body and I want a perfect soul.”

Tombol pintu dapur dipulas dengan sangat pelan. Seolah-olah ada bayi sedang lena tidur. Bukan pertama kali Elena masuk ke dalam rumah yang pengap bau kayu arang. Baunya masih juga sama hari ini. Cahaya matahari menerebos masuk dari rekahan atap rumah, melimpah di lantai yang tidak ditampal jubin mozek. Sebuah telaga di penjuru dapur, aneh telaga terletak di ruang dapur. Kedengaran ikan-ikan puyu berenangan dalam telaga kerana suasana dalam rumah yang sunyi juga sayup-sayup kedengaran lagu folk klasik Tagalog yang tiris dari radio. Pokok-pokok orkid tergantung di dinding dapur. Berderetan ikan laga  dalam botol kaca disusun di atas para-para. Lumut menempel di dinding dapur. Elena menyentuhnya dengan jari-jemarinya, lumut tidak basah.

Pak Rumi sedang merenung balang kaca. Seekor ikan laga berekor kemerahan seperti model-model dalam iklan fesyen busana – memperagakan ekornya yang berkilau mengembang. Dia menjentik balang kaca beberapa kali sebelum memandang Elena sekilas dan kembali merenung balang kaca sebelum berkata, “ibuku dalam balang kaca”. Kata-kata Elena tidak dihiraukannya apabila gadis itu memberitahunya tentang kematian Ibu Yu.

Lelaki itu bangun dan berdiri di sebelah Elena yang sedang menekuni pemandangan di hadapannya. Di hadapan mereka tergantung pokok-pokok orkid – bunga-bunga orkid yang pelbagai warna melahirkan visual psikedelik dalam keremangan cahaya lampu ayam yang menyala di atas kepala.

Pak Rumi tidak tahu, tubuh kecil Ibu Yu tumbang ke lantai, pada malam Elena menonton filem Happy Together arahan Wong Kar Wai. Kebetulan, imej-imej keintiman Elena dengan Ibu Yu ada di sela-sela imej bergerak dalam filem ini. Ibu Yu tewas dengan gangren – bakteria menjalar ke buah pinggang dan menumpang tinggal di paru-paru.

Elena keluar dari rumah Pak Rumi, di tangannya tergenggam botol kaca yang terisi ikan laga berekor kemerahan . Uban yang memutih di kepala Pak Rumi seperti pokok kapas di hadapan rumahnya. Sepanjang tali air yang mati ini, berderetan rumah yang akan ditenggelami bah bila musim tengkujuh datang. Rumah-rumah ini dibina di atas tanah pusaka. Susun atur rumah yang berterabur seperti rumah lego yang disusun anak kecil.

Pintu dan tingkap rumah yang belum dikatup menayangkan kehidupan dalam rumah walaupun senja makin hampir. Bagus juga cahaya lampu jalan tidak melimpah di bumbung-bumbung rumah, kegelapan menyorok keresahan yang berkeliaran pada waktu malam.

Bunyi-bunyi ambien dari perut rumah ketika Elena berjalan dari satu rumah ke satu rumah menuju pulang ke rumah Ibu Yu; bunyi tumbukan lesung batu adalah melodi keghairahan seorang ibu menyiapkan makan malam, kedengaran mesin basuh uzur membilas keringat semalam, tangisan anak kecil yang menikam dada, suara gitar yang melagukan My Bloody Valentine. Elena juga dengar alunan bacaan ayat Quran pada satu jendela dapur, seorang perempuan bertelekung putih masih di atas sejadah, cahaya matahari yang masuk dari jendela dapurnya terbekas bayang Elena di dinding hadapannya. Elena menghilang sebelum perempuan itu menoleh ke arah jendela dapur.

Tiket bas terhimpit di antara not-not kertas dalam dompet. Bas menuju ke Kuala Lumpur malam ini. Drebar bas melaung kepada penumpang, “dilarang membawa masuk nostalgia ke dalam bas”. Bas teroleng-oleng seperti kemabukan memanjat bukit-bukau dan kegatalan bas yang dinaiki Elena mengenyitkan mata kepada bas yang berselisih dengannya.

Diari harian dibuka, kata-kata terakhir Ibu Yu ditulis di atas kertas memo terselit dalam diari dan Elena akan tampalnya di pintu peti ais,“jangan bawa balik keresahan dan bawa masuknya ke dalam rumah”.

Sering saja Elena membawa masuk keresahan ke dalam rumah. Hunikannya dalam rumah, seolah-olah ia aib diri sendiri. Begitulah Elena menjaga rahsia keresahan yang sebenarnya tumbuh seperti teratai yang meliar di tali air sepanjang petempatan dirinya dibesarkan dan pada waktu malam ada yang membelah kesunyian dengan deruman enjin motorsikal, membawa keresahan merayau-rayau di belakang rumah kosong, di alur-alur kecil berselut, di tepi sungai, belakang bangunan kedai terbiar, dalam semak-samun juga ditepi kuburan.

Bergayutan keresahan di kelopak mata dan mereka tidak peduli.


Pengarang :