KUALA LUMPUR, 20 April — Qari dan Qariah Malaysia yang merangkul Johan Kategori Tilawah Abdul Khair Jalil (kanan) dan Nor Farhatul Fairuzah Panut menunjuk trofi yang dimenangi pada Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 Tahun 1440 Hijrah/ 2019 Masihi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam ini.?–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA??
SELANGOR

Berlatih sebelum Subuh mantapkan kualiti bacaan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 APRIL: Berlatih mengawal pernafasan dan lontaran suara sebelum Subuh menjadi kunci kejayaan qari dari Malaysia, yang dinobatkan sebagai juara Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-61, baru-baru ini.

Abdul Khair Jalil yang juga pensyarah Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berkata, latihan dilakukan sebelum Subuh kerana suara manusia pada waktu itu masih berada dalam keadaan tidak stabil.

“Jadi waktu antara 5 hingga ke 5.30 pagi, saya akan cuba berlatih untuk mengawal suara dan jika suara kita pada waktu itu berjaya dikekalkan, insyaALLAH pada waktu yang lain ia akan sama juga,” katanya kepada SelangorKini.

Abdul Khair yang memperolehi markah 93.02 peratus turut menewaskan qari dari Algeria, Yassine Bekouassa dan Ilyas Lamhayahoui dari Maghribi.

Kemenangan itu membolehkan beliau menerima kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.

Walaupun mengajar mata pelajaran Tilawah al-Quran, Abdul Khair tetap mempunyai guru yang membimbingnya bagi membolehkannya terus cemerlang dalam bidang terbabit.

“Sememangnya jadual hakiki saya amat padat, oleh sebab itu saya terpaksa mencuri masa pada waktu lapang untuk berlatih sebelum menjelangnya pertandingan,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu sebelum ini turut bergelar Juara Tilawah Al-Quran Peringkat Selangor, pada tahun ini.

“Sebelum ini saya menyertai pertandingan di peringkat negeri bermula tahun 2011, 2012, 2015 dan 2018.

“Sementara ini adalah kali kedua saya menyertai pertandingan tilawah di peringkat antarabangsa selepas menyertainya di Kuwait pada 2016,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Khair sempat berpesan supaya masyarakat khasnya Islam sentiasa memastikan perjalanan hidup mereka bersama al-Quran.

“Kita juga perlu sentiasa berusaha untuk mempelajarinya, tidak sepatutnya timbul perasaan malu untuk mempelajari ilmu ALLAH,” katanya.


Pengarang :