BERITA UTAMASELANGOR

Bersama jadikan Selangor terbaik di Asia Tenggara – MB

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 APR: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berhasrat mahu menjadikan Selangor bukan hanya terbaik di Malaysia sebaliknya turut dikenali di rantau Asia Tenggara.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu sukar direalisasi sekiranya tiada kerjasama antara barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pihak berkuasa. untuk memastikan hasrat tercapai.

Katanya, ia bukanlah satu tugas yang ringan sebaliknya harus dipikul dengan sikap fokus untuk memperbaharui tekad dan bersungguh-sungguh sekiranya mahu Selangor dikenali dan menjadi terbaik di rantau Asia Tenggara.

“Kini, kita hanya bangga Selangor menjadi terbaik di Malaysia sebaliknya kita harus mencabar diri bagi memastikan negeri ini dikenali juga terbaik di rantau Asia Tenggara.

“Kerajaan Negeri menyasarkan supaya Selangor menjadi aktor utama atau pemain utama di Wilayah Asia Tenggara manakala Shah Alam sebuah bandaraya terkemuka di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Bandaraya Shah Alam 2018 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, bagi memastikan hasrat tercapai individu juga perlu meletakkan disiplin diri yang tinggi, mengenengahkan integriti dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan.

Justeru, Amirudin berkata, individu itu perlu keluar dari zon selesa, buat perbandingan selain mencabar diri bagi merealisasikan hasrat terbabit.

“Melalui usaha ini, pelancong dan pelabur akan menjadi gembira untuk datang ke Selangor memandangkan sudah diiktiraf sebagai terbaik di rantau Asia Tenggara,” katanya.


Pengarang :