Bicara kes 1MDB Najib bermula 14 Mei | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Bicara kes 1MDB Najib bermula 14 Mei

KUALA LUMPUR, 5 APR: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion akan bermula 14 Mei ini selama 14 hari.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh berkenaan pada pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Collin menetapkan 14 hari iaitu 14, 15 dan 17 Mei; 28, 29 dan 31 Mei; 10, 11, 12, 13 dan 14 Jun; serta 18, 20 dan 21 Jun.


Tarikh itu ditetapkan selepas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, 66, memberitahu bahawa tarikh perbicaraan kes berkenaan yang sebelum ini ditetapkan pada 15 April hingga 3 Mei telah diambil alih oleh perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang turut dihadapi Najib.

Harvinder memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes SRC itu menetapkan tarikh perbicaraan kes itu bermula pada 3 April dan bersambung pada 15 April sehingga 10 Mei ini.

“Ekoran keputusan Hakim Nazlan yang menetapkan semua tarikh perbicaraan 1MDB dan tambahan seminggu dari 6 hingga 10 Mei, buat perbicaraab SRC International, ia memberikan hanya kami tiga minggu di bulan Mei, yakni antara 13 dan 17 Mei, serta minggu akhir Mei, yang merupakan tarikh perbicaraan bagi kes Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Saya secara peribadi memilih untuk memulakan dengan kes Shafee terlebih dahulu memandangkan kes itu lebih ringan dan didaftar lebih awal,” katanya.

Collin, bagaimanapun menolak dan berkata, mahkamah mahu menjalankan perbicaraan kes 1MDB terlebih dahulu, dan beliau kemudiannya menetapkan tarikh perbicaraan kes 1MDB pada tarikh perbicaraan untuk kes Muhammad Shafee.

Kes pengubahan wang haram yang dihadapi Muhammad Shafee sebelum ini ditetapkan pada 14, 15 dan 17 Mei, 28 dan 29 Mei serta 31 Mei.

Mahkamah menetapkan 16 April sebagai pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan kes Muhammad Shafee.

Ketua pasukan pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap perkara itu.

Najib, didakwa atas empat tuduhan sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 14 Jun 2011.

Bagi tuduhan kedua, Najib didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM90,899,927.28 di tempat sama antara 31 Oktober 2012 hingga 20 November 2012, manakala tuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2,081,476,926 dan RM49,930,985.70.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berdepan 21 tuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Manakala Muhammad Shafee didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul kepada LHDN yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next