SELANGOR

Bidang statistik perlu berubah kepada AI

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 APRIL: Bidang statistik perlu beralih kepada penggunaan Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence), khususnya dalam membuat ramalan setiap kemungkinan senario yang bakal berlaku, pada masa hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penekanan itu memandangkan dunia kini tertumpu kepada era ‘Data Revolution’, ‘Big Data’ dan ‘Data Analytics’.

Malah, katanya, statistik bukan sahaja digunakan sebagai alat mengukur prestasi semasa, malahan sudah memasuki fasa lebih kompleks.

“Dunia kini juga sedang berdepan Revolusi Perindustrian yang memasuki peringkat keempat atau Lonjakan Industri 4.0 (IR4.0) yang menyaksikan evolusi sistem pengkomputeran dan proses automasi berlaku dengan pesat.

“Justeru, mendepani fenomena ini, statistik mampu membantu kerajaan dan penggubal dasar dalam merencanakan dampak lonjakan industri ini yang memberi faedah kepada pembangunan negara serta rakyat secara holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Seminar Ekonomi Selangor Dan Majlis ‘Kick Off’ Banci Perdagangan Borong & Runcit 2019, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron dan Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Amirudin berkata, terdapat beberapa inovasi yang diperkenalkan bagi meningkatkan keupayaan statistik dalam mendepani evolusi yang berlaku dalam ekonomi.

“Antaranya adalah menerbitkan statistik baharu berkenaan penggunaan Teknologi Maklumat (ICT) dan e-Dagang dalam perniagaan, inovasi dan pembiayaan, penggunaan ‘Research & Development’ (R&D) serta perbelanjaan terhadap alam sekitar.

“Statistik ini berupaya mengenal pasti revolusi dialami oleh peniaga bagi mengukur tahap persediaan mereka khasnya dalam menghadapi IR4.0 yang memerlukan perubahan dibuat seiring dengan perkembangan digital untuk kekal berdaya saing,” katanya.


Pengarang :