SELANGOR

BizFair tawar inisiatif usahawan RM3,000

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 22 APR: Inisiatif berbentuk peralatan bernilai RM3,000 bakal menanti usahawan menerusi karnival BizFair anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada hari ini hingga esok di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam.

Jabatan Belia dan Sukan Selangor menerusi Facebook memaklumkan, usahawan yang layak bakal melalui proses pemilihan termasuk sesi temu duga.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan ingin melihat masyarakat sebagai penjana ekonomi negara dengan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Sebanyak 50 booth akan dibuka dan dijangka lebih 2,000 pengunjung akan hadir sepanjang dua hari karnival ini berlangsung,” tulisnya.

Selain sesi temuduga, antara aktiviti bakal dijalankan ialah taklimat perniagaan, khidmat nasihat, pameran, gerai jualan, cabutan bertuah, taklimat produk dan perkhidmatan serta aktiviti keusahawanan bersama selebriti.

Justeru, Kementerian Belia dan Sukan menjemput usahawan belia sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memeriahkan karnival itu sekali gus berpeluang berkongsi idea dan membina hubungan dalam perniagaan.

BizFair adalah inisiatif SSM bagi membantu usahawan mengembangkan dan memajukan perniagaan mereka.


Pengarang :