NASIONAL

BNM siasat 12 akaun termasuk milik Najib

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa serbuan di Ambank Jalan Raja Chulan dijalankan berhubung dengan transaksi dan akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd, berkait dengan dakwaan pelanggaran Bahagian IV Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFUA).

Ahmad Farhan Sharifuddin, 32, pengurus Jabatan Risikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM) berkata beliau menerima arahan daripada pegawai atasannya Abd Rahman Abu Bakar bagi pasukannya menjalankan serbuan di Ambank pada 6 Julai 2015.

Beliau turut mengesahkan bahawa serbuan oleh BNM di Ambank Jalan Raja Chulan bertujuan membantu siasatan oleh pasukan petugas pada tahun 2015 berkaitan dengan akaun serta transaksi 1MDB dan Najib berhubung dakwaan pelanggaran Bahagian IV AMLATFUA.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, saksi pihak pendakwaan itu berkata beliau menerima arahan pada malam sebelum 6 Julai 2015 dan beliau turut diarah datang ke pejabat lebih awal pada 6 Julai.

Harvinderjit : Apa arahan yang anda terima daripada Abd Rahman?

Ahmad Farhan : Menyiasat transaksi serta akaun bank milik Datuk Seri Najib yang didakwa melanggar Bahagian IV AMLATFUA.

Harvinderjit : Menyiasat akaun dan transaksi 1MDB?

Ahmad Farhan : Ya

Harvinderjit : SRC International Sdn Bhd?

Ahmad Farhan : Ya

Harvinderjit : Gandingan Mentari Sdn Bhd?

Ahmad Farhan : Ya

Harvinderjit : Ihsan Perdana Sdn Bhd?

Ahmad Farhan : Ya

Harvinderjit : Anda menjalankan serbuan, semua sekali 12 akaun, termasuk akaun simpanan Datuk Seri Najib.

Ahmad Farhan : Ya

Saksi itu berkata tiga pasukan menjalankan serbuan itu pada hari yang sama, tapi di tingkat berlainan di bangunan Ambank itu.

Ditanya oleh peguam sekiranya beliau dia sedar kewujudan pelbagai agensi dalam pasukan petugas yang diwujudkan pada tahun 2015 itu, beliau berkata mereka terdiri daripada pasukan polis, BNM, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun beliau tidak kenal semua anggota pasukan itu, kecuali bekas ketuanya Sri Zeti Aziz.

“Pada 2015, anda berumur 28 tahun dan baru menyertai BNM kira-kira tiga setengah tahun, tapi dminta menyiasat akaun bank milik Perdana Menteri, tentu anda amat teruja, kan? Ia saat tidak boleh dilupakan?” tanya Harvindenjit yang membuatkan saksi menjawab “Ya”.

Semasa memberi penjelasan mengenai serbuan itu, katanya beliau dan pasukannya bergerak terus ke Tingkat 24 bangunan Ambank dan menemui pengurus kerjasama bank Joanna Yu dan memberitahunya bahawa pasukan itu telah menjalankan siasatan sekali lagi keatas Najib, SRC, 1MDM dan lain-lain syarikat yang didakwa melanggar Bahagian IV AMLATFUA.

Katanya beliau sebelum ini beliau pernah menemui Joanna pada bulan Mei dan Jun 2015 bagi merekodkan kenyataan berhubung siasatan yang sama.

Harvinderjit : Adakah anda merampas sebarang alat elektronik seperti komputer, telefon bimbit Blackberry daripada Joanne Yu?

Ahmad Farhan : Saya tidak ingat.

Harvinderjit : Adakah anda tahu mengenai perbualan telefon Blackberry antara Joanna Yu dan Jho Taek Low atau “Jho Low”?

Ahmad Farhan : Saya tidak tahu.

Harvinderjit : Adakah anda tahu ada komunikasi menerusi email antara Joanna dan pemilik akaun seperti Datuk Seri Najib berhubung transaksi?

Ahmad Farhan : Saya tidak ingat.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. -BERNAMA


Pengarang :