GLOBAL

Boeing bakal kurangkan pengeluaran pesawat 737

SAN FRANCISCO, 6 APRIL: Boeing merancang untuk mengurangkan pengeluaran bulanan pesawat jenis 737, mulai bulan ini bagi mengalih lebih banyak sumber dalam usaha membawa pesawat 737 Max, yang kini direhatkan, kembali ke ruang udara

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dennis Muilenburg berkata, syarikat itu sedang melaraskan sistem pengeluaran 737 buat sementara waktu untuk memberi ruang kepada pemberhentian penghantaran pesawat jenis MAX.

Katanya, langkah itu membolehkan pihaknya memberi keutamaan kepada sumber tambahan untuk memfokus kepada pensijilan perisian dan mengembalikan MAX bagi melakukan penerbangan.

“Kami memutuskan untuk mengurangkan jumlah pengeluaran pesawat daripada 52 kepada 42 buah sebulan mulai pertengahan April,” katanya lapor agensi berita China Xinhua.

Terdahulu, Muilenburg mengakui buat pertama kali bahawa data buruk memainkan peranan dalam dua nahas udara iaitu Penerbangan 610 Lion Air di Indonesia, pada Oktober tahun lalu dan Penerbangan 302 Ethiopian Airlines, pada Mac lalu.

Kedua-duanya membabitkan pesawat jenis 737 Max dan meragut 346 nyawa, memandangkan Sistem Penambahan Ciri-Ciri Manuver pesawat itu diaktifkan sebagai respon kepada maklumat “angle of attack” yang salah.

Muilenburg berkata, syarikat itu “mempunyai tanggungjawab untuk menghapuskan risiko ini,” dan sedang melakukan progres dalam kemas kini perisian pesawat jenis 737 Max yang akan mencegah nahas serupa daripada berulang.

Nahas udara yang berlaku baru-baru ini menyaksikan langkah merehatkan pesawat Boeing jenis 737 Max diambil di seluruh dunia. -BERNAMA


Pengarang :