SELANGOR

Budaya dialog, integrasi bangsa perlu diberi perhatian

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 APR: Kerajaan perlu memberi perhatian dalam usaha memulihkan kembali budaya dialog dan integrasi bangsa serta agama secara berkala kepada masyarakat.

Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Selangor, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail berkata, Rukun Negara juga harus diberi pencerahan kepada seluruh masyarakat dan dimaknai bersama bagi menjadikan ia sebagai asas nilai bersama warga Malaysia.

Katanya, semua pihak khususnya pihak berautoriti seharusnya menjadikan hidup bersama secara muhibbah rentas agama dan rasa sebagai agenda utama.

“Muhibbah adalah suatu suasana yang menggambarkan keadaan saling menghormati dan harmoni hidup bersama dalam kalangan warga Malaysia berbilang bangsa serta agama.

“Kepelbagaian adalah fitrah alam, cara kita menguruskan adalah penentu landskap kedamaian yang kita inginkan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, WADAH Selangor dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pendidikan Kerajaan Negeri mengadakan persidangan meja bulat bagi membincangkan teras keharmonian bangsa Malaysia.

Seramai 97 peserta terdiri daripada guru, ahli korporat, wakil agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) turut serta dalam persidangan berlangsung di BizPoint PKNS, Shah Alam, di sini.

Persidangan berkenaan menampilkan tiga ahli panel antaranya, Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei; Pemerhati Budaya & Politik, Uthaya Sankar SB dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan & Penyelidikan Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Hanapi Jamaludin.

Kenyataan sama turut berkata, daripada segi dimensi sosial, banyak persamaan bersifat universal (sejagat) dapat disepakati bersama.

“Isu seperti keadilan, kesejahteraan ekonomi rakyat dan hak mendapatkan peluang pendidikan mencukupi adalah antara perkara yang mempunyai persamaan serta kepentingan bersama,” katanya.


Pengarang :