SELANGOR

Budayakan gotong-royong minggu ketiga setiap bulan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 7 APRIL: Warga Shah Alam diseru supaya membudayakan aktiviti gotong-royong komuniti membersihkan kediaman dan sekitarnya pada minggu ketiga setiap bulan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Beliau yang juga EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi berkata, program itu perlu diadakan secara berkala dan berterusan sehingga menjadi budaya.

Katanya, ia tidak perlu dijalankan secara formal dengan mengharapkan agensi kerajaan, sebaliknya perlu bergerak sendiri bersama komuniti setempat.

“Saya sarankan minggu ketiga kerana pada minggu pertama semua baru dapat gaji, jadi ramai pergi berjalan bersama keluarga, itu tiada masalah, pergilah. Minggu kedua pun begitu.

“Jadi minggu ketiga bila tiada buat apa-apa sambil menunggu gaji, kita turun sumbang balik kepada masyarakat setempat, ajak semua ahli keluarga bersihkan seluruh kediaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Gotong-Royong Perdana Perbadanan Pengurusan PN10422, di Pangsapuri 19B, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Rodziah berkata, bermula tahun ini, pihaknya hanya memberikan sokongan kepada program kawasan yang mendahulukan aspek kebersihan dan komuniti serta tidak akan memperuntukkan kewangan kepada program tiada tambah nilai.

Gotong-royong penduduk Pangsapuri 19B itu diadakan di blok satu sehingga blok lapan bermula 8.30 pagi dan berakhir menjelang tengah hari.

Turut hadir Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 7, Mohammad Jamil Abdul Rahim.

Kaunter ADN Batu Tiga dan Perbadanan Pengurusan PN10422 juga dibuka bagi memberi peluang kepada penduduk menyelesaikan sebarang urusan seperti membuat aduan, menyemak serta membayar yuran penyelenggaraan.

Bas Pameran Cegah Denggi oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut memeriahkan aktiviti terbabit.


Pengarang :