NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini ekoran pengambilan untung sederhana selepas kenaikan baru-baru ini dan penurunan harga minyak dunia, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.32 mata kepada 1,636.06, daripada paras penutup 1,638.38 pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka susut 1.08 mata kepada 1,637.30.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 136 berbanding 114, manakala 195 kaunter tidak berubah, 1,467 tidak diniagakan dan 60 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 160.01 juta saham bernilai RM52.87 juta.

Peniaga itu berkata FBM KLCI dijangka bergerak lebih rendah ke arah paras 1,620 hingga 1,630 dalam minggu ini berikutan jangkaan lebih banyak aliran keluar dana asing berikutan kelembapan ekonomi domestik dan global.

“Ini menyebabkan pelabur antarabangsa mengalihkan peruntukan aset mereka ke instrumen selamat seperti pasaran bon dan pasaran wang,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.14, Public Bank turun 18 sen kepada RM22.46, Petronas Chemicals susut lima sen kepada RM9.05 dan TNB jatuh dua sen kepada RM12.12.

Dalam kalangan saham pembinaan yang diniagakan cergas, Sumatec susut setengah sen kepada satu sen, Seacera turun 5.5 sen kepada 26 sen dan Green Packer meningkat 5.5 sen kepada 42.5 sen.

Bagi kaunter untung utama, Yee Lee Corporation menokok 38 sen kepada RM2.32, Allianz meningkat 30 sen kepada RM13.90 dan G3 Global menambah 23 sen kepada RM1.85.

Indeks FBM Emas turun 12.50 mata kepada 11,653.31, Indeks FBMT 100 susut 12.64 mata kepada 11,464.48 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 10.49 mata kepada 11,875.43.

FBM 70 susut 1.73 mata kepada 14,729.00 dan FBM Ace turun 2.51 mata kepada 4,791.33.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 20.05 mata kepada 16,861.41, Indeks Perladangan susut 0.81 mata kepada 7,297.66 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.19 mata kepada 171.82.

-BERNAMA

 


Pengarang :