NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, menjejaki keputusan kewangan korporat beberapa saham Amerika Syarikat (AS) yang positif walaupun ketidakpastian prospek ekonomi global masih terus ketara, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 11.00 mata kepada 1,638.44 daripada 1,627.44 sewaktu ditutup, pada Selasa.

Indeks petunjuk utama itu dibuka dengan menokok 6.26 mata kepada 1,633.70.

Di pasaran luas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 263 berbanding 77 manakala 194 kaunter tidak berubah, 1,382 tidak diniagakan dan 31 lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 296.22 juta saham bernilai RM204.35 juta.

Sementara itu, laporan menyatakan antara peningkatan terbesar kepada S&P 500 adalah Twitter Inc yang menokok 13.6 peratus selepas mencatat pendapatan suku tahunan lebih baik berbanding jangkaan dan kenaikan pengguna aktif bulanan.

Saham Coca-Cola Co turut naik 2.6 peratus selepas data jualannya bagi suku tahun turut mengatasi jangkaan awal.

Indeks utama S&P 500 ditutup dengan menokok 0.9 peratus kepada 2,933.7 yang disumbang peningkatan harian terbaik stok penjagaan kesihatan sejak pertengahan Januari serta aliran kenaikan saham pengguna dan teknologi manakala Dow Jones Industrial Average naik 145.34 mata atau 0.6 peratus kepada 26,656.39.

Sementara itu, AllianceDBS Research berkata keupayaan bursa tempatan mengekalkan kedudukan melepasi paras 1,618 semalam menunjukkan peserta pasaran juga enggan melihat sentimen pasaran terus merosot.

“Pelabur dan peniaga mungkin meninjau saham-saham berpotensi berikutnya untuk tujuan dagangan namun keputusan belian dan jualan itu bersandarkan pengetahuan risiko dan ganjaran berkaitan.

“Kami menjangkakan cubaan belian (saham) itu berlaku pada rintangan segera 1,628 manakala sebarang prestasi yang melepasi 1,628 akan menyaksikan pasaran cenderung ke arah 1,640.

“Selain itu, kami turut mengunjurkan FBM KLCI kemungkinan akan didagangkan pada paras lebih 1,629.42 hari ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung 15 sen kepada RM9.31, Public Bank naik 12 sen kepada RM22.72, Petronas Chemicals menambah empat sen kepada RM8.99, Tenaga naik dua sen kepada RM12.30 manakala CIMB menokok 10 sen kepada RM5.27.

Maybank dan Public Bank turut muncul kaunter paling untung diikuti oleh Top Glove yang naik 11 sen kepada RM4.87.

Bagi kaunter aktif, Barakah naik satu sen kepada 10.5 sen, Ekovest susut 1.5 sen kepada 85.5 sen dan Impiana Hotels tidak berubah pada 5.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 68.25 mata kepada 11,653.79, Indeks FBMT 100 menokok 68.31 mata kepada 11,467.27 dan Indeks Syariah FBM Emas naik 55.03 mata kepada 11,834.55.

FBM 70 meningkat 52.64 mata kepada 14,676.84 dan FBM Ace lebih tinggi sebanyak 11.92 mata kepada 4,764.18.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 140.88 mata kepada 16,958.64, Indeks Perladangan naik 43.61 mata kepada 7,235.75 manakala Indeks Produk & Perkhidmatan Industri menambah 0.55 mata kepada 170.70.

-BERNAMA


Pengarang :