NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, namun bertukar rendah selepas itu ekoran kekurangan sokongan.

Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.08 mata kepada 1,641.73 daripada 1,641.81 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Indeks itu dibuka pada 1.86 mata lebih tinggi kepada 1,643.67.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 230 berbanding 109, manakala 179 kaunter tidak berubah, 1,328 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 243.8 juta saham bernilai RM86.3 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata aktiviti pengambilan untung berlaku lebih rancak pada Jumaat lepas namun sentimen itu telah terhenti, menjadikannya aliran yang dilihat akan berterusan.

Ini memandangkan masih ada beberapa petunjuk domestik yang menarik bagi membolehkan indeks utama itu terus mencatatkan aliran menaik lebih kukuh, menurut firma itu.

“Berdasarkan persekitaran semasa, kita menjangkakan aliran tidak berubah akan berterusan dengan indeks utama bergerak antara paras 1,640 dan 1,650 buat masa ini.

“Paras sokongan dan rintangan adalah pada paras terendah baru-baru ini iaitu masing-masing 1,638 and 1,657,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Antara saham wajaran tinggi di Bursa, Nestle naik RM1 kepada RM146.50, KLK menambah 36 sen kepada RM25.12, BAT menokok 28 sen kepada RM36.28 manakala PPB meningkat 24 sen kepada RM18.74 setakat pada 9.30 pagi.

Bagi saham aktif, Sapura Energy naik 1.5 sen kepada RM37 sen, Talam turun setengah sen kepada lima sen, KNM naik setengah sen kepada 17 sen.

Indeks FBM Emas menambah 29.85 mata 11,630.72, Indeks FBMT 100 turun 1.01 mata kepada 11,454.14 dan Indeks FBM Ace kurang 3.23 mata kepada 4,823.30.

Indeks FBM Emas Syariah menokok 13.94 mata kepada 11,807.57, FBM 70 melonjak 62.10 mata kepada 14,486.64.

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 4.08 mata kepada 16,892.80, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri menambah 0.22 mata kepada 169.76 dan Indeks Perladangan meningkat 42.44 mata kepada 7,278.99. -BERNAMA


Pengarang :