Bursa Malaysia dijangka meningkat minggu depan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Bursa Malaysia dijangka meningkat minggu depan

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan lebih tinggi pada minggu depan dan mencecah paras 1,650, dipacu terutamanya oleh faktor harga komoditi dan perkembangan positif membabitkan rundingan Amerika Syarikat (AS)-China ketika ini.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia, Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Khan berkata, faktor penyumbang lain adalah minyak mentah dunia yang kini didagangkan melebihi US$69 setong manakala minyak sawit mentah pula sekitar lebih RM2,100 satu tan.

Pada masa sama, prestasi ringgit yang mengukuh berbanding dolar US turut menyuntik impak terhadap perkembangan di bursa tempatan itu.


“Ringgit mengukuh ke paras 4.06-4.07 berbanding dolar US. Perkembangan itu dipacu oleh rundingan AS-China yang akan turut menggerakkan pasaran saham,” katanya kepada Bernama.

Padangan sama turut dikongsi oleh firma penyelidikan Malacca Securities Sdn Bhd yang menyifatkan sentimen pasaran kekal positif susulan rasa optimis terhadap pertikaian perdagangan Washington-Beijing.

“Rundingan perdagangan antara dua kuasa ekonomi terbesar itu dijangka berakhir secara positif. Oleh itu, sentimen sedemikian dalam jangka masa terdekat itu harus memberi sedikit rangsangan dalam jangka pertengahan selanjutnya. Malah, ia berpotensi menuju ke arah 1.650 mata,” katanya dalam satu nota penyelidikan pada Jumaat.

Presiden AS Donald Trump dan Timbalan Perdana Menteri Liu He bertemu di Rumah Putih pada Khamis untuk berunding mengenai perdagangan dua negara tersebut.

Ditanya mengenai keputusan Perdana Menteri Britain, Theresa May untuk memohon tempoh lanjutan keluar dari Kesatuan Eropah atau Brexit pada 30 Jun, Mohd Nazri berkata keputusan itu akan membolehkan United Kingdom (UK) membuat persiapan untuk berundur secara lancar.

“Ini akan melonjakkan pasaran saham di serata dunia dan mengurangkan lagi ketidaktentuan yang berlaku. Adalah diharapkan kita akan menyaksikan pengunduran atau Brexit yang lancar dan bukan sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata maklumat terbaharu gaji/upah bukan perladangan AS yang meningkat pada Mac, turut membuktikan pasaran buruh negara itu dalam keadaan baik dan meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan ekonomi AS akan meleset.

“Selain itu, parti Konservatif dan Buruh di UK pula bekerjasama untuk mengemukakan cadangan berkaitan Brexit. Perkembangan itu menyebabkan FBM KLCI diunjur mencatat trajektori lebih tinggi selepas suram sejak dua minggu lepas. Malah, ada impak positif yang akan muncul sekiranya kebimbangan mengenai kemungkinan AS dihimpit kemelesetan, terus reda.

“Sentimen itu ketara berdasarkan rundingan dagangan AS-China yang lebih positif,” katanya.

FBM KLCI juga dijangka menguji paras rintangan 1,653 minggu depan.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia menyaksikan dagangan yang bercampur-campur seiring dengan prestasi pasaran serantau serta pergerakan di Wall Street dan rundingan dagangan AS-China.

Pada asas Jumaat hingga Jumaat, indeks penanda aras FBM KLCI itu susut 1.82 mata kepada 1,641.81.

Indeks FBM Emas pula menokok 47.02 mata kepada 11,600.86, Indeks FBMT 100 meningkat 30.28 mata kepada 11,437.63 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 99.40 mata kepada 11,787.46.

FBM 70 pula melonjak 211.90 mata kepada 14,424.54 namun Indeks FBM Ace berkurangan 16.54 mata kepada 4,815.61.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 80.41 mata kepada 16,888.72, Indeks Perladangan meningkat 50.44 mata kepada 7,236.55 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.61 mata kepada 169.54.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 13.89 bilion unit bernilai RM9.58 bilion daripada 11.73 bilion unit bernilai RM9.12 bilion, pada Jumaat lalu.

Selain itu, jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 10.36 bilion saham bernilai RM8.83 bilion berbanding 8.1 bilion saham bernilai RM8.34 bilion.

Jumlah waran susut kepada 1.95 bilion unit bernilai RM408.36 juta berbanding 2.15 bilion unit bernilai RM460.75 juta, sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 1.57 bilion saham bernilai RM329.20 juta berbanding 1.47 bilion saham bernilai RM315.91 juta. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next