EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR, 30 APR: Bursa Malaysia yang mencatatkan aliran harga meningkat hampir sepanjang hari, ditutup tinggi hari ini, didorong oleh keuntungan kebanyakan saham mewah berkaitan kewangan serta saham wajaran tinggi terpilih.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,642.29, meningkat 4.89 mata berbanding 1,637.40 pada penutupan semalam.

Selepas dibuka 2.78 mata lebih rendah pada 1,634.62, indeks bergerak dalam julat 8.91 mata, mencecah paras tertinggi harian pada 1,643.45 dan paras terendah harian pada 1,634.54.

Maybank, ditutup pada RM9.25, meningkat 11 sen, susulan faedah yang lebih tinggi memandangkan tempoh untuk Hyflux Ltd membuat pembayaran atas kemudahan pinjaman berjangka berdasarkan surat permintaan bank yang tamat tempoh hari ini.

Kaunter bank lain yang menyumbang kepada peningkatan indeks komposit termasuk CIMB Group, yang menambah tujuh sen kepada RM5.27, Hong Leong Financial meningkat 18 sen kepada RM19.22 dan RHB menokok enam sen kepada RM5.96

Antara saham wajaran tinggi, TNB naik lapan sen kepada RM12.28, manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM9.00 dan Public Bank susut enam sen kepada RM22.50.

Bagi saham aktif, Bumi Armada dan KNM masing-masing tidak berubah pada 23.5 sen dan 21.5 sen manakala Ekovest turun 1.5 sen kepada 88 sen.

Bagi kaunter untung, Panasonic naik 22 sen kepada RM37.82, F&N menambah 18 sen kepada RM34.90 manakala MISC menokok 10 sen kepada RM6.90.

Kedudukan pasaran bagaimanapun kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 473 berbanding 326, manakala 410 kaunter tidak berubah, 694 tidak diniagakan dan 51 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.36 bilion saham bernilai RM2.25 bilion.

Indeks FBM Emas menambah 20.18 mata kepada 11,652.84, FBMT 100 meningkat 22.23 mata kepada 11,469.25 manakala FBM 70 susut 19.73 mata kepada 14,578.81.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 10.34 mata kepada 11,837.05, namun Indeks FBM Ace susut 26.39 mata kepada 4,642.70.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 75.33 mata kepada 16,962.70, Indeks Perladangan menambah 6.63 mata kepada 7,280.67 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.15 mata kepada 169.93.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 1.73 bilion saham bernilai RM2.11 bilion berbanding 1.85 bilion saham bernilai RM1.49 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 309.16 juta unit bernilai RM74.44 juta berbanding 386.87 juta unit bernilai RM95.53 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 323.97 juta saham bernilai RM66.48 juta berbanding 284.84 juta saham bernilai RM47.45 juta sebelumnya.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 250.96 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (380.92 juta), pembinaan (185.61 juta), teknologi (86.33 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (64.09 juta) 189.65 juta), perladangan (34.62 juta), REIT (9.31 juta), dana tertutup (63,000), tenaga (395.65 juta), penjagaan kesihatan (28.57 juta), telekomunikasi dan media (36.18 juta), pengangkutan dan logistik (24.11 juta), dan utiliti (42.99 juta).

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :