NASIONAL

Bursa Malaysia rendah semasa awal dagangan

KUALA LUMPUR, 9 APR: Prestasi Bursa Malaysia rendah semasa awal dagangan hari ini, selepas gagal mengekalkan keuntungan awal berikutan pengambilan untung sederhana dalam sektor telekomunikasi.

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras dibuka 0.84 mata lebih tinggi kepada 1,645.19 namun mula susut selepas enam minit dagangan.

Pada 9.16 pagi, barometer pasaran itu turun 0.97 mata kepada 1,643.38.

Bagaimanapun bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 218 berbanding 110, manakala 237 kaunter kekal tidak berubah, 1,290 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 348 juta saham bernilai RM163.6 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, meskipun keseluruhannya persekitaran pasaran masih bercampur-campur, indeks utama itu akan terus merekodkan kenaikan dalam jangka terdekat memandangkan aliran asas saham kekal positif bagi jangka pendek.

Peserta pasaran masih menunggu hasil rundingan perdagangan China-Amerika Syarikat yang dapat menentukan pergerakan bagi hala tuju jangka sederhana dan mengetepikan kebimbangan terhadap ekonomi global yang perlahan sekali gus membolehkan saham mencatatkan peningkatan seterusnya.

“Walaupun kami menyaksikan kenaikan berterusan, kami juga mendapati peningkatan itu mungkin terus dihadkan oleh kekurangan belian baharu bagi indeks wajaran tinggi.

“Ini adalah petunjuk sikap sentiasa berhati-hati pelabur terhadap saham FBM KLCI, dengan penilaian mereka kekal saksama yang boleh mengehadkan potensi kenaikan,” menurut firma itu.

Malacca Securities berkata, secara keseluruhannya, ia menjangkakan paras rintangan utama kekal pada 1,650 selepas ia melepasi 1,645.

Paras sokongan pada masing-masing pada 1,640 dan 1,637.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maxis turun 10 sen kepada RM5.60 manakala Digi susut lima sen kepada RM4.65 sen.

Sementara itu, Petronas Dagangan naik 28 sen kepada RM25.32, Dialog menokok tiga sen kepada RM3.26 dan PetChem menambah satu sen kepada RM9.12, disokong oleh kenaikan berterusan harga minyak mentah Brent, yang kini melebihi US$70 setong.

Bagi saham aktif, Priceworth International tidak berubah pada 7.5 sen, manakala Dayang Enterprise meningkat tiga sen kepada RM1.57 dan Perdana Petroleum menokok 1.5 sen kepada 46 sen.

Indeks FBM Emas naik 4.71 mata kepada 11,650.19, Indeks FBMT 100 menambah 2.35 mata kepada 11,480.38 dan Indeks FBM Ace menokok 17.53 mata kepada 4,790.63.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 7.37 mata kepada 11,884.14, FBM 70 naik 39.99 mata kepada 14,607.22.

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 15.18 mata kepada 16,862.20, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri menambah 0.33 mata kepada 170.42 dan Indeks Perladangan mencatatkan 0.83 mata lebih tinggi kepada 7,287.06.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :