NASIONAL

Cabaran imbangi pertumbuhan ekonomi, pengukuhan fiskal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 APR: Kerajaan hari ini mengakui berdepan cabaran mengimbangi antara pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengukuhan fiskal ekoran peningkatan hutang negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sekiranya hutang mencecah RM1 trilion itu tidak diurus dengan baik, ia akan menjejaskan pembangunan, infrastruktur dan ekonomi.

“Jika kita lihat nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ini mencecah 83 peratus. Ini satu keadaan yang amat membimbangkan kerajaan kerana kita mewarisi jumlah hutang begitu besar.

“Kita tidak dapat menampung pembiayaan projek pembangunan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Astro Awani di slot Agenda Awani: Menjelang Setahun Malaysia Baharu, malam ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, pendedahan demi pendedahan kepincangan pentadbiran lalu perlu diperjelaskan kepada rakyat.

Katanya, hal itu kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahui kedudukan terkini dan langkah menangani masalah berkenaan.

“Contohnya, kerajaan ingin mengemukakan cadangan dan langkah untuk menjamin kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

“Kita berpandangan rakyat khususnya perlu tahu bagaimana kedudukan agensi itu hari ini, kerana untuk menjayakan usaha dan program baharu FELDA mewarisi keadaan yang amat rumit,” katanya.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PAKATAN) bukan sekadar menutup kelemahan sebaliknya bersikap terbuka dengan mendedahkan kecurangan lalu kepada rakyat.

“Saya yakin definisi Malaysia Baharu yang dicanang sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 diterima baik rakyat dan kesan dukungan itu, PAKATAN berpegang kepada prinsip akauntabiliti dan kebertanggungjawaban,” katanya.


Pengarang :