NASIONAL

Cadang jual pesawat, AirAsia tumpu perniagaan digital

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Cadangan AirAsia Group Bhd untuk menjual 25 pesawat kepada firma pelaburan swasta global yang berpangkalan di AS, Castlelake LP, akan memberi laluan kepada syarikat itu untuk menumpukan kepada perniagaan digitalnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, penjualan itu akan menjana keuntungan bagi semua pesawat AirAsia pada harga tinggi dan mengelakkan risiko.

Ia juga membolehkan syarikat penerbangan itu mengembalikan tunai kepada pemegang saham dan melabur dalam perniagaan digital baharunya.

Beliau berkata, Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 tidak memberi kesan ke atas kedudukan tunai AirAsia.

“Saya menghargai syarikat dengan penjanaan tunai, walaupun dengan standard itu dan jika anda menggunakan keuntungan dan kerugian (P&L) untuk menganalisis kesan standard baharu MFRS 16, impak berkenaan adalah kira-kira RM35 juta setahun. Tidak begitu ketara,” katanya menerusi tweet semasa mesyuarat agung luar biasa syarikat itu, hari ini.

Sebelum ini, CIMB Equities Research berpendapat unjuran nisbah hutang bersih syarikat penerbangan kos rendah itu bagi tahun Kewangan (FY) 2019 mencecah 145 peratus ekuiti selepas permodalan pajakan operasi, dengan MFRS 16 berkuat kuasa 1 Jan 2019.

Fernandes berkata langkah pelupusan pesawat juga memperlihatkan tindak balas berbeza oleh firma-firma penyelidikan.

Menjual pesawat juga bijak memandangkan penganalisis mengatakan kami membeli banyak pesawat dan beberapa penganalisis pula kini mengatakan kami kini ada banyak pesawat pajakan,” katanya.

AirAsia sebelum ini mengumumkan akan menjual 25 pesawat ke Castlelake LP membabitkan bayaran RM3.2 bilion.

Ini akan dilakukan melalui penjualan keseluruhan kepentingan ekuiti Kumpulan AirAsia dalam Merah Aviation Asset Holding Ltd, yang dipegang oleh anak syarikat milik penuh induknya, Asia Aviation Capital Ltd (AACL), kepada AS Air Lease Holdings 5T DAC, sebuah entiti yang tidak dikawal secara langsung oleh Castlelake.

Sebagai tambahan kepada penjualan saham Merah Aviation, Castlelake juga akan membeli empat pesawat baharu daripada AACL, yang akan diserahkan pada 2019. -BERNAMA


Pengarang :